Lima Menteri Sah Digugurkan Daripada Senarai Calon UMNO Untuk PRU 15
Lima menteri dilaporkan sah digugurkan daripada senarai calon UMNO dan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 15 pada 19 November ini.
Menurut ciapan Bernama TV, antara menteri-menteri tersebut adalah Tan Sri Noh bin Haji Omar yang memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi. Beliau yang sebelum ini bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Karang pada PRU 14 dilaporkan tidak lagi akan bertanding di mana-mana kerusi.
Seterusnya ialah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar bin Haji Musa yang merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia. Beliau sebelum ini merupakan ahli Parlimen Ketereh, Kelantan bakal digantikan dengan muka baharu iaitu Ketua Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Ariifin.
Nama Datuk Halimah binti Mohamed Sadique juga telah digugurkan dalam senarai calon kerusi parlimen pada PRU kali ini. Beliau sebelum ini menjawat jawatan Menteri Perpaduan Negara dan pernah bertanding di kerusi parlimen Kota Tinggi, Johor.
Selain itu ialah Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi. Dalam PRU yang lalu, beliau merupakan calon parlimen bagi kerusi P155 Tenggara, Johor.
Nama yang terakhir ialah, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim yang merupakan Menteri Wilayah Persekutuan. Beliau sebelum ini bertanding di kerusi P003 Arau, Perlis dan berjaya memperoleh kemenangan.
#PRU15: Lima menteri digugurkan daripada senarai calon UMNO untuk PRU15; Noh Omar, Annuar Musa, Halimah Mohamed Sadique, Adham Baba, Shahidan Kassim pic.twitter.com/le2BXNQ1S2
— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) November 1, 2022
Sumber: BERNAMA