Siakap Keli

Firma Penyelidikan Unjur OPR Dinaikkan Lagi Tahun Depan

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) — Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi dalam mesyuarat pada Januari 2023, kata beberapa firma penyelidikan.

Ambank Research menerusi laporan Sorotan Ekonominya berkata, kenaikan itu akan menyaksikan OPR mencecah paras 3.00 peratus yang menjadikannya ke tahap sebelum pandemik.

“Seiring dengan jangkaan serta konsensus kami, BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

“Ini adalah kenaikan keempat bagi tahun ini yang menjadi pertambahan 100 mata asas sepanjang 2022,” kata cabang penyelidikan AmBank Group bagi mengulas pengumuman BNM mengenai kenaikan OPR, semalam.

AmBank Research berkata kenaikan itu didorong oleh kebimbangan inflasi daripada pemulihan di peringkat domestik sendiri.

Selain itu, inflasi teras berada pada 4.0 peratus pada September (purata 2.7 peratus setakat tahun ini) yang berada dalam julat atas unjuran BNM sebanyak 2.0-3.0 peratus.

Bagi aspek penawaran, isu rantaian bekalan global telah reda sejak April tahun ini yang turut mengurangkan sedikit tekanan daripada kos input, katanya.

Namun, penyusutan ringgit (13.9 peratus setakat tahun ini) juga menjadi antara penyumbang kepada keadaan inflasi yang kekal tinggi.

AmBank Research berkata, pengumuman BNM itu menyaksikan ringgit susut 0.17 peratus kepada 4.7460 pada akhir urus niaga semalam.

Sementara itu, cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank, Kenanga Research mengekalkan saranan ‘Overweight’ terhadap sektor perbankan dan mengunjurkan terdapat satu lagi kenaikan 25 mata asas bagi OPR untuk tahun kalendar 2023 kepada 3.00 peratus.

“Biarpun mengalami tekanan inflasi yang berkemungkinan menimbulkan risiko, kami percaya kebimbangan mengenai kualiti aset sektor perbankan akan diuruskan dengan baik.

“Ini berikutan pemulihan trend pembayaran balik susulan aktiviti ekonomi yang pulih selain pendapatan dan pekerjaan yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) turut menjangkakan BNM menaikkan OPR sebanyak 50 mata asas menjelang separuh pertama 2023 untuk mencecah 3.25 peratus.

Katanya, langkah BNM meneruskan pendirian mengetatkan dasar monetari itu didorong oleh prospek Malaysia untuk terus mencatat pertumbuhan yang positif.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.