Lelaki Nekad Palsukan Kematian, Tergamak Bunuh & Bakar ‘Orang Gila’ Demi Duit Insuran
Pasangan suami isteri di Bengkalis Riau, Indonesia dilapor tergamak melakukan pembunuhan terhadap orang tidak siuman demi mendapatkan duit insuran, lapor Tribun News.
Perbuatan pasangan itu terbongkar selepas siasatan polis dalam kejadian kebakaran kereta tersebut mendapati terdapat seorang mangsa didalamnya.
Siasatan awal polis mendapati mangsa yang mati dalam kebakaran itu merupakan pemilik kenderaan tersebut.
Menurut keterangan keluarga mangsa, keluarganya mengakui bahawa dia tidak pulang ke rumah selepas keluar rumah untuk membeli baja Duri.
Bagaimanapun, selepas siasatan dilakukan, ternyata mangsa sebenarnya masih hidup dan berjaya ditahan oleh Satreskrim Polis Bengkalis dan Polis Pinggir di Siak Hulu, Kabupaten.
Hasil siasatan mendapati, kereta yang terbakar bersama seorang mangsa itu merupakan rancangan suspek dan isterinya.
Suspek dilaporkan telah menyamar menjadi mangsa kebakaran kerana mahu mendapatkan bayaran insuran atas kematiannya yang bernilai Rp 150 juta (RM 45,600).
Rancangan itu terbongkar selepas pegawai polis merasa curiga dengan isteri suspek. Isterinya enggan melakukan bedah siasat ke atas mayat yang terbakar dalam kereta tersebut.
“Ketika itu kita terus menyiasat dengan membawa pasukan forensik Polis Riau untuk memastikan kereta itu terbakar dengan sendiri atau dibakar oleh orang lain,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bengkalis, AKP Muhammad Reza dalam sidang media bersama Ketua Polis Daerah Bengkalis, AKBP Indra Wijatmiko.

Hasil pemeriksaan forensik mendapati kereta itu sengaja dibakar, kemudian Pasukan Siasatan Jenayah Polis Bengkalis dan Unit Siasatan Jenayah Polis Pinggir segera menjalankan siasatan bersama.
“Dalam siasatan ini, kami mendapati telefon bimbit suspek yang pada asalnya disyaki mangsa yang mati terbakar itu ternyata masih aktif dengan nombor lain. Nombor itu dikesan aktif dan berada di Siak Hulu, Kabupaten Kampa,” kata Muhammad Reza.
Pasukan polis segera ke lokasi di mana telefon bimbit itu berada. Ketika sampai ke lokasi, ternyata suspek masih hidup dengan telefon bimbitnya sendiri.
“Ketika soal siasat dijalankan, ternyata mangsa yang terbakar di dalam kereta tersebut adalah orang yang mengalami gangguan jiwa (ODGJ). ODGJ ini dikatakan sering berada di sekitar jalan Hangtuah bandar Duri,” jelasnya lagi.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Pinggir, Gogot Ristanto menjelaskan, hasil daripada pemeriksaan mendapati suspek mengaku melakukan pembunuhan ke atas ODGJ.
Pembunuhan itu dilakukan untuk menggantikan dirinya sebagai mangsa yang maut agar dia dapat mengeluarkan polisi insuran nyawanya yang bernilai Rp 150 juta.
“Rancangannya ialah wang itu akan digunakan untuk membayar hutang yang melibatkan dirinya,” kata Gogor.
Gogor juga turut menjelaskan bahawa isteri suspek mengetahui tentang rancangan untuk melakukan pembunuhan berkenaan.
Sebelum melakukan pembunuhan tersebut, suspek dikatakan mencari mangsa ODGJ berkenaan. Ketika berjumpa dengan mangsa, suspek memberi mangsa makanan dan memberinya peluang pekerjaan.
“Selepas berjaya dibawa ke kereta, suspek melakukan pembunuhan tersebut di dalam kereta itu dengan memukul kepala mangsa menggunakan bongkah kayu,” jelas Gogor lagi.
Dalam keadaan tidak berdaya, mangsa dibawa ke kawasan di mana kereta itu terbakar.
“Setibanya di lokasi, mayat mangsa dipindahkan ke kereta ‘pickup’. Kemudian suspek bertindak membakar kereta itu bersama mayat mangsa didalamnya,” ujarnya.
Akibat perbuatannya itu, suspek akan didakwa menurut pasal 340 junto pasal 338 junto pasal 55 ayat 1 KUHP. Jika disabit bersalah, suspek boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau penjara selama 20 tahun.
“Isteri suspek, turut ditahan dan bertanggungjawab atas perbuatannya itu. Kerana dia tahu rancangan suaminya, namun tidak menghalang dan melaporkannya kepada polis,” akhiri Gogor.
Sumber: Tribun News