Siakap Keli
Masa Tu Bunyi Bising Kat Langit

“Masa Tu Bunyi Bising Kat Langit Tapi,” Nama Langkawi Kena Petik, Ada Sesuatu ‘Besar’ Nak Jadi Mei Tahun Depan

“Masa Tu Bunyi Bising Kat Langit Tapi,” Nama Langkawi Kena Petik, Ada Sesuatu ‘Besar’ Nak Jadi Mei Tahun Depan

Bila sebut nama Langkawi, memang boleh dikatakan pulau ini adalah pulau percutian impian kebanyakan rakyat Malaysia. Pantai putih yang terhampar panjang, laut biru yang terbentang luas, makanan yang sedap dan penginapan mewah, sentiasa memanggil-manggil kita ke sana.

Jadi, tak hairanlah nama Langkawi ini sentiasa menjadi sebutan orang ramai sepanjang tahun. Malah, nama pulau yang terkenal dengan legenda Mahsuri ini juga sering menjadi trending di media-media sosial.

Terbaru, Langkawi sekali lagi menjadi panas dan disebut-disebut, katanya ada sesuatu benda besar nak jadi Mei tahun depan. Siap ada yang ramal ketika itu ada bunyi bising kat langit, tapi tiada yang peduli pun. Malahan, ketika itu ramai orang siap teruja dongak ke langit dan ke lautan. Entah apa agaknya?

Namun, bila disemak semula, mungkin benar apa kata individu ini yang dimuat naik ke media sosial. Perkara besar yang bakal berlaku yang dimaksudkan adalah penganjuran LIMA’23 yang bakal berlangsung pada bulan Mei tahun hadapan. Bunyi bising yang dimaksudkan sehingga buatkan ramai teruja adalah bunyi-bunyi jet pejuang yang bakal buat persembahan.

Tilik punya tilik, jumpa pun jawapannya. Rupa-rupanya, tahun depan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2023 akan dianjurkan buat pertama kali selepas pandemik Covid-19 melanda dunia. Padanlah Langkawi sakan jadi buah mulut orang ramai, tak kira borak di kedai kopi ataupun wargamaya di media sosial, rupanya masing-masing dah tak sabar benar nak jejak kaki sekali lagi di LIMA.

Apatah lagi, penganjuran LIMA 2023 yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 27 Mei 2023 ini dikhabarkan bakal diadakan pada skala lebih besar, lebih meriah dan lebih mengujakan berbanding edisi-edisi sebelumnya. Manakan tidak, pihak penganjur LIMA 2023 kali ini sampai ke luar negara, membuka pavilion khas bagi membuat promosi.

10 syarikat Malaysia bersatu padu di Indonesia

Indo Defence 2022 kini sedang berlangsung di Indonesia, bermula 2 November lalu hingga 5 November ini dan peluang tersebut tidak dilepaskan oleh Kementerian Pertahanan untuk mempromosikan LIMA 2023.

Diketuai Bahagian Industri Pertahanan dan dengan kerjasama 10 syarikat tempatan pempamer LIMA 2023 dan Defence Service Asia Exhibition and Conference (DSA), sebuah Pavilion Malaysia telah dibuka di Indo Defence 2022 ini.

Tujuannya cuma satu, ingin mempromosikan keupayaan industri pertahanan dalam negara dan juga penganjuran LIMA 2023. Memang wajarlah promosinya dibuat hingga ke luar negara, memandangkan penganjuran edisi ke-16 ini akan menjadi penganjuran terbesar dalam sejarahnya.

Disertai 600 pempamer dari 30 negara

Diiktiraf sebagai pameran maritim dan aeroangkasa terbesar di rantau Asia Pasifik, jadi tak hairanlah banyak syarikat-syarikat pertahanan dan juga pengeluar-pengeluaran pertahanan dari seluruh dunia berlumba-lumba nak menyertai LIMA 2023 kali ini.

Setakat ini, dijangka sekitar 600 pempamer dari 30 buah negara bakal membuat penampilan dengan membawa pelbagai produk pertahanan masing-masing untuk dipamerkan.

Anda boleh menjangkakan kemeriahan tak terkata dengan kehadiran beberapa peserta tradisi seperti Airbus, Boeing, Thales, Gading Group, Naval Group dan banyak lagi yang bakal mengetengahkan perkakasan-perkakasan pertahanan terkini dan serba canggih, seperti jet pejuang, kereta kebal, kapal perang, kapal selam, rifel, pistol, peluru berpandu dan sebagainya.

Maka tak hairanlah, ruang pameran di MIEC untuk edisi ini juga telah ditambah iaitu kepada 20,000 meter persegi, berbanding edisi terdahulu hanya 11,037 meter persegi.

110 aset udara dan 110 aset maritim sedia menanti pengunjung

Antara negara-negara yang dijangka terlibat adalah Amerika Syarikat, United Kingdom, China, Perancis, Turki, Jerman, Itali dan banyak lagi. Negara-negara ini juga dijangka akan menghantar beberapa aset dari cabang Tentera Laut, Darat & Udara masing-masing dalam pameran kali ini.

Jika pada edisi yang lepas, persembahan-persembahan udara dan pasukan aerobatik antara yang mencuri tumpuan, untuk edisi 2023 ini pun apa kurangnya. Dijangkakan, sebanyak 110 aset udara terdiri daripada pelbagai jenis fungsi seperti pesawat pengangkut, jet tempur dan pesawat tanpa pemandu juga bakal mengisi ruang-ruang pameran untuk dikunjungi orang ramai.

Deruman enjin pesawat seperti Sukhoi MKM milik TUDM, Tejas, Rafale dan beberapa lagi pasti menjadikan suasana LIMA 2013 lebih meriah dan ‘meletup’. Pertunjukkan-pertunjukkan udara oleh pasukan aerobatik daripada pelbagai negara seperti di bawah juga dijangka akan diadakan.

Selain itu, bagi penggemar segmen maritim pula, anda akan disajikan dengan deretan kapal-kapal perang yang berlabuh berdekatan Resort World Langkawi (RWL). Dengan negara-negara peserta merupakan antara pemilik Angkatan Laut terkuat di dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan China, dijangkakan kapal-kapal perang yang bakal singgah di LIMA 2023 ini adalah antara kapal perang termaju dan tercanggih di dunia.

Menanti kehadiran lebih 230,000 pelawat

Dengan penganjuran kali terakhir diadakan pada 2019, sebelum terpaksa dibatalkan akibat pandemik Covid-19, LIMA 2023 ini dijangka bakal menerima jumlah pengunjung luar biasa daripada peminat-peminat dunia pertahanan, sama ada dari dalam mahupun luar negara.
Lagi pula, ibu-bapa pasti nak bawa anak berjalan-jalan di sini juga nanti kan? Jadi, LIMA 2023 ini dijangka akan menarik sekitar 238,000 pelawat yang akan memenuhi semua tapak lawatan seperti di MIEC dan RWL.

Selain itu, seramai 45,000 peserta delegasi perdagangan juga dijangka akan tiba di Langkawi untuk edisi LIMA kali ini. Manakala, seramai 410 tetamu kehormat dari luar negara melibatkan 41 buah negara juga akan dijemput untuk menyaksikan sendiri kemeriahan LIMA 2023.

Segmen baru, dron dan pertunjukkan angkasa

Tidak cukup dengan segmen maritim dan aeroangkasa, LIMA 2023 turut akan menampilkan segmen baharu yang menjadikan penganjuran kali ini wajib dilawati.

Antaranya, penganjur akan memperkenalkan segmen dron dan perlumbaan dron, menampilkan segmen teknologi angkasa, forum CEO syarikat penerbangan, program menyeluruh untuk remaja termasuk pendidikan, kerjaya serta pertandingan permainan elektronik dan segmen wanita dalam pertahanan.

Memang gempak habis. Boleh dikatakan LIMA 2023 ini menawarkan pelbagai segmen dan aktiviti yang menepati citarasa semua pihak dan meliputi semua lapisan umur. Berbaloi habis kalau anda nak bawa ahli keluarga, anak-anak yang masih dibangku sekolah ataupun yang sudah tamat pengajian untuk merasai sendiri keunikan dunia pertahanan yang pelbagai.

Nantikan LIMA 2023, edisi terbesar dalam sejarah

Jadi, rancang siap-siap cuti anda.Boleh kumpul duit bermula dari sekarang tau sebab LIMA 2023 ini akan berlangsung bermula 23 hingga 27 Mei tahun depan. Kalau yang tak pernah jejak kaki di LIMA, edisi kali ini adalah edisi tepat untuk anda kunjungi kerana ia dianjurkan dalam skala terbesar dalam sejarah.

Untuk maklumat lanjut mengenai harga tiket dan sebagainya, anda boleh ikuti laman web dan Facebook LIMA 2023 dari semasa ke semasa.

Jangan lupa kunjungi LIMA 2023 okay.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.