Mungkin Penat Sangat, Tular Video “Rider” Tidur Atas Motosikal Tengah Jalan Buat Ramai Risau
Satu video yang memaparkan sekumpulan lelaki mengejutkan seorang penunggang motosikal yang tertidur di atas kenderaannya di tengah jalan telah menjadi tular di media sosial Thailand.
Menurut Thaiger, video tersebut telah dirakam oleh salah seorang lelaki tersebut sebelum dikongsikannya ke laman Facebook berita tempatan bernama Hear On Board.
Video itu memaparkan lelaki terbabit cuba mengejut penunggang motosikal yang sedang tidur lena dengan mulut ternganga di atas motosikalnya pada waktu malam.
“Bro, bangunlah. Bro, Bro kamu tahu tak yang kamu sedang tidur di tengah jalan sekarang? Tolong bangun,” kata salah seorang lelaki kepada penunggang motosikal yang sedang tidur itu.
Apabila penunggang itu sedar dari tidurnya, dia kelihatan sangat keliru. Dia juga memberitahu kumpulan tersebut bahawa dia tidak mabuk dan menunjukkan isyarat dua jari untuk membuktikan bahawa dia dalam keadaan baik-baik saja.
Penunggang motosikal itu kemudian meminta bantuan kumpulan lelaki tersebut untuk menghantarnya pulang ke rumah kerana dia berasa tidak berdaya untuk menunggang motosikalnya sendiri.
Lokasi di mana jalan itu berada masih tidak dapat dikenal pasti. Tetapi yang pasti jalan itu tidak seperti jalan utama yang biasa anda lihat di Bangkok. Jalan raya di ibu kota Bangkok pada umumnya sangat sibuk dan berbahaya.
Warganet juga sempat meninggalkan komen di video tersebut memuji kumpulan lelaki terbabit yang sudi membantu penunggang motosikal berkenaan.
Ada yang melihat video itu sebagai sesuatu yang kelakar dan beberapa yang lain berkata ianya tidak kelakar sama sekali kerana penunggang itu hanya bernasib baik pada waktu itu.
https://www.facebook.com/watch/?v=639582940987722&t=1
Sumber: The Thaiger