Ahli UMNO yang jadi calon dan penyokong parti lawan akan digugurkan keahlian
Ahli-ahli UMNO yang menjadi calon, pencadang dan penyokong kepada parti lawan secara automatik akan digugurkan keahliannya sebagai ahli parti berkenaan, lapor kenyataan media UMNO sebentar tadi.
Berdasarkan kenyataan itu lagi, UMNO telah meneliti senarai calon-calon yang telah mengemukakan pencalonan dan diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyertai PRU15.
UMNO juga dikatakan telah menerima laporan bahawa terdapat ahli-ahli parti tersebut yang menjadi calon, pencadang dan penyokong kepada parti lawan.
Berhubung perkara tersebut, keahlian mereka di dalam UMNO dengan ini telah gugur secara automatik sesuai dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO.
“Ingin ditegaskan, berdasarkan Fasal 20.11 ini, UMNO akan memantau secara berterusan sekiranya terdapat ahli-ahli parti terlibat dengan aktiviti menyokong calon parti lawan, sepanjang tempoh kempen PRU15. Sekiranya ada, tindakan memecat keahlian mereka akan dilakukan serta-merta,” kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Haji Ahmad Maslan.
Terdapat ahli-ahli UMNO yang menjadi calon, pencadang dan penyokong kepada parti lawan.
Sehubungan itu, keahlian mereka di dalam UMNO dengan ini tergugur secara automatik sesuai dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO.
— Setiausaha Agung UMNO pic.twitter.com/4W4sRVlUN6
— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) November 5, 2022
Sumber: BERNAMA