Burung Nuri Selamba ‘Curi’ Fon Telinga Wartawan Tengah “Live” Lapor Kes Jenayah
Seorang wartawan TV yang sedang melakukan siaran langsung berkenaan berita jenayah tak sangka bahawa seekor burung nuri yang hinggap di bahunya secara tiba-tiba nekad melakukan ‘jenayah’.
Nicolas Krumm dapat dilihat sedang melaporkan berita mengenai kecurian sebuah rumah di Chile sebelum burung itu bertindak mencuri fon telinga yang dipakainya.
Memetik laporan Daily Mail, Nicolas dilihat memberi isyarat kepada jurukameranya untuk memastikan dia fokus kepada tetamu yang tidak dijemput itu.
Namun, beberapa saat kemudian burung itu tertarik dengan fon telinga Nicolas dan bertindak untuk mencabutnya dari telinga kiri.
Kejadian tersebut menyebabkan wartawan dari Chilevision itu terkejut dan cuba untuk mendapatkannya semula namun tidak berjaya.
“Ia baru saja mengambil fon telinga saya,” kata Nicolas selepas burung tersebut terbang bersama fon telinga miliknya.

Nicolas menjelaskan kepada rakan setugas di studio pada waktu itu bahawa mereka sedang melakukan siaran langsung pada waktu tengah hari.
“Saya merasakan ada sesuatu yang hinggap di bahu saya dan ianya adalah seekor burung nuri,” kata Nicolas.
“Saya menyuruh jurukamera untuk merakamkan secara lebih dekat kerana ia bukan sesuatu yang berlaku setiap hari,” katanya.

Di samping itu, Nicolas menjelaskan bahawa ada orang yang mengambil masa bertahun-tahun untuk melatih burung berkenaan untuk datang hinggap di atas bahu mereka.
Menurutnya, burung tersebut telah memerhatikan mereka dari pagar berhampiran dan mungkin fon telinga miliknya itu menarik perhatian burung tersebut sebelum ia mengambilnya.
“Saya terpaksa meneruskan laporan kerana kami berada dalam siaran langsung,” kata Nicolas.
“Pada masa itu, apabila saya menyuruh jurukamera merakam burung berkenaan, ia telah menarik fon telinga saya daripada telinga,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, ia bukanlah sesuatu yang mahu diulas pada waktu itu kerana mereka sedang fokus melaporkan kes pecah masuk kediaman, lapor Daily Mail.
Selain itu juga, Nicolas mendedahkan bahawa jurukameranya telah menjumpai fon telinganya di kawasan rumput berdekatan.
Pada Mac 2016, seekor burung kakak tua hinggap di bahu wartawan Britney Klein ketika hendak membuat penggambaran siarang langsung untuk Nine News Australia.
Video tersebut dikatakan telah tular kerana Britney terlupa untuk menamatkan siaran langsung dan mengeluarkan kata-kata makian sebelum merayu dan menjerit ‘Lepaskan saya’ kepada jurukamera.
Sumber: Daily Mail