Siakap Keli
Erik Kecewa dengan Prestasi Manchester United
Gambar: Sky Sport

“Itu Tak Boleh Diterima,” Erik Kecewa Dengan Manchester United

Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag menyatakan rasa marah dan kecewa setelah pasukannya gagal mempamerkan prestasi memuaskan semasa menentang Aston Villa malam tadi.

Menurut Mirror, pasukan kendalian Ten Hag itu terpaksa akur dengan kekalahan 1-3 menentang Aston Villa di Villa Park dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Imbas kembali corak perlawanan arahan Ten Hag malam tadi, dikatakan dia telah membuat beberapa perubahan mengejut yang akhirnya ‘memakan diri’.

Misalnya, Cristiano Ronaldo dilantik sebagai kapten pasukan sementara Donny Van de Beek dimasukkan dalam skuad utama bagi menggantikan Bruno Fernandes yang digantung.

Bagaimanapun, strategi itu nampaknya gagal membuahkan hasil kerana tuan rumah dilihat lebih mendominasi perlawanan.

“Kami kehilangan permainan pada separuh masa pertama dan kedua. Itu tidak boleh diterima.

“Mereka kelihatan lebih aktif dan bersedia. Keputusannya jelas, ia tidak pernah menipu. Dalam bola sepak anda akan mendapat apa yang sepatutnya anda miliki.

“Hari ini pasukan kami tidak mempamerkan aksi dengan baik,” jelasnya kepada BBC Sport malam tadi, memetik laporan Mirror.

Hal tersebut adalah disebabkan gawang gol David de Gea dibolosi rakus dengan tiga gol hasil jaringan tuan rumah menerusi Leon Bailey, Lucas Digne dan Jacob Ramsey.

Gambar: AFP

Sementara itu bagi United, hanya satu gol berjaya diledak oleh pemain pertahanan, Luke Shaw dan keputusan itu sangat membuatkan bekas pengurus Ajax tersebut marah.

“Selepas sekian lama perkara itu tidak berlaku dan ia ‘terpulang’ kepada kami. Kami tidak dapat mengatur strategi dengan betul, tidak mengikut peraturan dan kalah dalam permainan.

“(Sedangkan) pemain kami mempunyai pengalaman,” tambahnya.

Jelas Ten Hag, perlawanan tersebut perlu mempunyai strategi teknikal yang betul, selain harus lebih peka terhadap kekurangan sebelum-sebelum ini.

“Setiap orang perlu memenangi perlawanan mereka sendiri, kami tidak, itu sangat mengecewakan,” katanya.

Bagaimanapun, Ten Hag juga tidak menafikan bahawa pasukannya berjaya mencipta banyak peluang ketika kedudukan masih 2-1.

Tetapi, keadaan kembali menjadi tidak terkawal apabila mereka bolos lagi untuk kali ketiga pada awal separuh masa kedua.

Kalau 20 minit pertama dah ‘slow’, memang kau kalah – Shaw

Erik Kecawa dengan Prestasi Manchester United
Gambar: Shutterstock

Malah untuk perlawanan semalam, Shaw yang menjaringkan gol bagi United turut mengakui bahawa pasukannya tidak layak meraih sebarang mata.

“Kami tahu mereka akan tampil dengan pengurus dan perasaan yang baharu. Kami sudah menjangkakannya.

“Tapi dalam perlawanan seperti ini, jika perlawanan bermula dengan perlahan dalam 20 minit pertama maka anda akan kalah.

“Kami tidak cukup bagus. Kami sentiasa percaya bahawa kami akan memenangi perlawanan walaupun ketinggalan 0-2.

“Kami bolos pada awal separuh masa kedua dan ia bagaikan satu gunung yang perlu didaki,” katanya.

Jelas Shaw, jika melihat kembali perlawanan secara ulangan, kesilapan mereka dilihat jelas dalam perlawanan tersebut.

Sementara itu, jurulatih Villa, Unai Emery memuji pemainnya kerana berpegang kepada pelan permainannya.

“Penyokong luar biasa menyokong kami dan pemain hebat-hebat. Langkah pertama ambil keyakinan, mulakan dengan tenaga penyokong.

“Kami mempunyai pemain yang ada kemahiran yang baik,” katanya.

Untuk rekod, sebelum ini The Red Devils berjaya mengharungi sembilan perlawanan dengan menang berturut-turut tanpa kalah.

Namun kekalahan 1-3 malam tadi sekali gus meletakkan United ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Tottenham Hotspur.

Walaupun terpaksa menerima kekalahan kali keempat selepas 13 perlawanan, namun juara EPL 20 kali itu masih kekal tersenarai lima pasukan teratas carta EPL di bawah Arsenal, Manchester City, Newcastle United dan Tottenham.

Sementara itu, pencabar utama United, Liverpool berjaya mencatat kemenangan bergaya 2-1 ke atas Tottenham hasil jaringan penyerang sensasi Mohamed Salah pada minit 11 dan 40.

Bagaimanapun kemenangan itu gagal membuatkan skuad Jurgen Klopp mampu memintas United dan hanya menduduki tangga kelapan EPL dengan 19 mata.

Sumber: The Mirror

Florence Nuar