Liga Europa: MU Bakal Menentang Barcelona Di Pusingan “Playoff”
Dalam undian yang berlangsung hari ini, kelab dari Liga Perdana Inggeris, Manchester United bakal menentang gergasi dari Sepanyol, Barcelona dalam aksi pusingan kalah mati (playoff) Liga Europa.
Memetik AFP, selepas gagal menempatkan diri ke 16 pasukan terbaik di Liga Juara-Juara, Barca bakal turun menentang The Red Devil yang menduduki kedudukan kedua dalam Liga Europa.
Dalam rekod terakhir kedua-dua pasukan tersebut, Barcelona unggul dengan mengatasi United dengan agregat 4-0 pada Liga Juara-Juara 2018/19 lalu.
Menerusi sistem liga tersebut, lapan naib juara dari Liga Europa bakal berentap dengan lapan lagi pasukan yang meraih tempat ketiga dalam Kumpulan Liga Juara-Juara. Pemenang akan mara ke pusingan 16 terbaik.
Hasil undian lain menyaksikan Juventes bakal turun menentang kelab dari Perancis, Nantes manakala juara enam kali Liga Europa, Sevilla bertemu PSV Eindhoven.
Selain itu, kelab dari Belanda Ajax turut diundi menentang pasukan dari Bundesliga, Union Berlin dan Shakhtar Donetsk akan menentang Rennes.
Bayer Leverkusen pula akan menentang Monaco sementara AS Roma akan menentang Red Bull Salzburg.
Dalam pada itu, lapan pemenang kumpulan Liga Europa layak secara automatik ke 16 terbaik termasuk Arsenal, Fenerbahce, Real Betis, Union Saint-Gilloise, Real Sociedad, Feyenoord, Freiburg dan Ferencvaros.
Perlawanan akhir Liga Europa dijangka berlangsung di Budapest, Hungary pada 31 Mei tahun depan.
Sumber: AFP