Legenda Chelsea, Drogba Nafi Peluk Islam
Pemain bola sepak legenda Chelsea, Didier Drogba menafikan dakwaan beliau melakukan pertukaran agama selepas berita mengenainya memeluk Islam tular sehingga mendapat perhatian ramai di media sosial.
Menerusi ciapan di Twitter, Drogba menegaskan kepada orang ramai bahawa semua berita yang tular itu adalah tidak benar, sebaliknya beliau hanya melakukan lawatan ke atas saudara Islam sahaja.
“Cerita ini tengah viral, tapi saya tidak tukar agama.
“Saya hanya memberi penghormatan kepada saudara Islam yang saya kunjungi di kampung. Sekadar momen bersama. Salam sayang dan rahmat buat semua,” katanya dalam ciapan itu.
Difahamkan, spekulasi tersebut mula tercetus dan tersebar luas selepas anak kelahiran Côte d’Ivoire itu membuat kunjungan melawat sekumpulan penduduk Muslim di sebuah kampung.
Sebelum ini, media melaporkan, pendakwah islam Dr Muhammad Salah juga pernah berkongsi gambar bintang Ivory Coast berkenaan yang sebelum ini beragama Katolik, mengumumkan beliau telah memeluk Islam.
Bagaimanapun selepas Drogba membuat kenyataan penafian, Muhammad Salah terus menjelaskan perkara itu kepada pengikutnya di laman Facebook.
“Malangnya Drogba tidak memeluk Islam seperti yang dijelaskannya sendiri (seperti yang tular). Namun begitu, kami tetap berdoa untuknya agar Tuhan membimbingnya kepada Islam,” katanya, memetik kapsyen di Facebook.
Dalam masa sama, rata-rata pengikutnya turut mendoakan agar Drogba benar-benar mahu memeluk Islam dan berharap khabar angin itu akan menjadi realiti satu hari nanti.
This story is going viral 😅 but I haven’t changed religion.
This was just me paying respect to my Muslim brothers i was visiting in my village. A moment of togetherness.
Much love and blessings to all 🙏🏾— Didier Drogba (@didierdrogba) November 7, 2022
Menerjah di ruangan komentar, ada beberapa pengguna Twitter dipercayai peminatnya turut meninggalkan nasihat dan pesanan kepadanya.
“Jadilah Muslim, kehidupan anda akan jadi lebih baik dan jauh lebih baik daripada apa yang anda bayangkan,” kata pengguna bernama Faisal.
Namun di sebalik komentar-komentar harmoni tersebut, terselit juga satu pendapat berbaur jenaka daripada seorang warganet.
“Orang cuba bagitahu kepada dia (Drogba) supaya sertai agama mereka ibarat dah macam jendela perpindahan pemain (transfer window),” kata pengguna bernama Seba.
Sumber: @didierdrogba via Twitter