Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Pelajar Tingkatan 3 Maut Dipercayai Terjatuh Dari Bangunan Sekolah

Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh dari salah sebuah bangunan sekolah menengah di Simpang Empat, Alor Star, Kedah pada Khamis 10 November 2022. 

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihak mereka telah menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.30 pagi berhubung dengan tragedi tersebut. 

“Ketua Balai Polis Simpang Empat menerima panggilan mengatakan terdapat seorang pelajar perempuan sekolah itu dipercayai terjatuh bangunan sekolah.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati bangunan sekolah itu mempunyai empat tingkat yang mana bahagian bawah adalah perpustakaan, manakala tingkat dua pula kosong, tingkat tiga pula adalah kelas bagi pelajar Tingkatan Enam manakala tingkat empat pula kosong.

“Polis belum mengenal pasti pelajar terbabit terjatuh daripada tingkat berapa dan siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca bagaimana kejadian itu berlaku,” katanya selepas dihubungi oleh pihak Astro AWANI hari ini.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku ketika keseluruhan bangunan itu kosong dan semua pelajar berada di tapak perhimpunan untuk berkumpul sebelum mereka masuk ke kelas masing-masing. 

Sementara itu, beliau juga berkata bahawa mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bertujuan untuk melakukan prosedur bedah siasat dan kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 

BACA: “Weh Anak Gajah Dah Datang,” Jadi Tradisi Toksik Sejak Dulu, Ini Antara Buli Lisan Yang Sering Dianggap ‘Gurauan’

BACA JUGA: “Sampai 85% Kena Potong,” 150 Peniaga “Online” Dicari Pihak Tertentu, Ada Kaitan Dengan RM60,000

Sumber: Astro Awani

Faiz Mustafa