Siakap Keli
lelaki ditahan terlibat dalam pergaduhan tular
Gambar: Tangkap layar video tular

Polis Tahan Lelaki Terlibat Pergaduhan Selepas Kemalangan

Seorang lelaki ditahan kerana terlibat dalam pergaduhan, menerusi rakaman yang tular di media sosial selepas berlaku kemalangan di Ipoh baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata suspek berumur 47 tahun itu berjaya ditangkap di Jalan Lahat, Ipoh, kira-kira 12.10 tengahari.

Yahaya berkata pihaknya telah menerima satu laporan polis daripada mangsa yang terlibat dalam pergaduhan tersebut, serta satu laporan kemalangan jalan raya daripada pemandu yang terlibat dengan kereta suspek.

“Siasatan polis mendapati kejadian tersebut berlaku pada 7 November, kira-kira 6.07 petang di Jalan Raja Musa Aziz di mana sebuah kereta jenis Honda City telah melanggar sebuah kereta jenis Toyota Camry yang dipandu oleh seorang wanita berumur 52 tahun.

“Punca kejadian dipercayai adalah akibat daripada pemandu kereta Honda City telah memandu di laluan yang bertentangan trafik,” kata Yahaya menerusi kenyataan.

Walau bagaimanapun, wanita itu didapati tidak mengalami kecederaan.

Menurut Yahaya, pada masa yang sama terdapat orang awam prihatin yang menyaksikan kemalangan jalan raya tersebut telah tampil untuk memberi bantuan kepada mangsa.

Namun, suspek tidak berpuas hati terhadap teguran daripada orang awam kerana dikatakan menyebabkan kemalangan jalan raya tersebut.

Suspek bertindak menyerang salah seorang daripada orang awam yang hadir di tempat kejadian.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret pada 9 November (semalam) untuk permohonan tahanan reman.

“Kedua-dua laporan polis mengenai kejadian tersebut disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambah Yahaya.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati dan berhemah semasa memandu di atas jalan raya serta mematuhi peraturan lalu lintas.

Sumber: @PDRMsia via Twitter

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana