Siakap Keli
Bumbung Masjid Runtuh
Kredit: @FahadAlAhmary1 via X

Hujan Lebat, Sebahagian Bumbung Masjid Universiti Raja Fahd Di Arab Saudi Runtuh

Hujan Lebat, Sebahagian Bumbung Masjid Universiti Raja Fahd Di Arab Saudi Runtuh

Bumbung sebuah masjid di kampus Universiti Raja Fahd di Dhahran, Arab Saudi dilapor runtuh yang berpunca daripada hujan lebat, pada petang Rabu.

Menurut Al-Arabiya News, kejadian berkenaan berlaku ketika negara di Timur Tengah itu sedang berdepan dengan situasi cuaca tidak menentu sejak beberapa hari yang lalu.

Beberapa video yang merakam kejadian berkenaan turut menjadi tular di media sosial dan menarik perhatian ramai warga maya.

Menerusi video berkenaan, dapat dilihat bumbung berkenaan tidak dapat menahan bebanan hujan yang turun sehingga ada bahagian yang runtuh. Keadaan itu menyebabkan air hujan melimpah hingga memasuki ruang solat.

Pengguna media sosial mendakwa, bumbung yang runtuh itu adalah bumbung keluli yang dipasang pada bangunan berkenaan dan merupakan sebahagian daripada pelan pembesaran masjid tersebut.

Ribut petir dan kilat dijangka berterusan sehingga esok petang

Terdahulu, beberapa wilayah di Arab Saudi berdepan dengan fenomena cuaca hujan sederhana sehingga lebat.

Susulan itu, kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan arahan yang mengarahkan sesi persekolahan dilakukan secara atas talian sebagai langkah keselamatan.

Direktorat Pertahanan Awam Arab Saudi turut mengeluarkan amaran serta arahan keselamatan yang mengingatkan orang awam berjaga-jaga dan kekal di dalam rumah semasa cuaca ribut.

Sementara itu, ribut petir dan kilat yang melanda beberapa wilayah di Arab Saudi dijangka berterusan sehingga petang Khamis.

Kota Madinah dilanda hujan lebat dan banjir teruk

Baru-baru ini, Pusat Meteorologi Kebangsaan Saudi (NCM) turut mengeluarkan amaran tahap merah di wilayah Madinah sambil meramalkan hujan lebat dan ribut petir, angin kencang dan hujan batu turut berlaku di Al-Ula.

Beberapa video yang merakam situasi Kota Madinah dilanda banjir turut menjadi tular di media sosial sejak beberapa hari lepas.

Menurut portal The New Arab, bencana ini berlaku selepas banjir kilat turut melanda dua buah negara, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman.

Difahamkan banjir yang berulang di bandar-bandar tersebut berpunca daripada kekurangan saliran untuk mengalirkan air hujan.

Situasi tersebut berlaku antaranya berpunca daripada perancangan bandar abad ke-20 di negara-negara Timur Tengah yang tidak menjangkakan perubahan cuaca drastik boleh berlaku di wilayah yang selalunya kering dan berpasir itu.

BACA: Sheriff Terus Cemerlang, Raih Kutipan RM44.5 Juta

@aljazeeraenglish

Video shows heavy #rain and #flooding hitting parts of SaudiArabia’s city of Medina. #extremeweather #madinah #saudi #sauditiktok

♬ original sound – Al Jazeera English

Sumber: Alarabiya News, The New Arab

Athirah

When nothing goes right, go left.