Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tidak Dibenar Bawa Telefon, Ikuti 10 Langkah Ini Semasa Mengundi

Nurhanis
tidak dibenar bawa telefon
Gambar: BERNAMA & SPR

Hari pengundian bakal menjelang, pelbagai perkara yang perlu diambil tahu terutama sekali buat pengundi muda, di mana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini bakal menyaksikan Undi18 didaftar sebagai pemilih untuk membuang undi.

Seperti yang diketahui, anak muda dalam era pendigitalan ini, ramai yang mahir menggunakan telefon pintar dan menghasilkan kandungan untuk disiarkan kepada umum. Maka secara tidak langsung ia menjadi tular kerana pengisiannya menarik perhatian awam.

Namun tidak dinafikan, penggunaan telefon pintar atas tujuan kandungan jika tidak ‘sesuai’ pada tempat dan keadaan, ia berisiko bakal mengundang impak negatif, lebih-lebih lagi apabila melibatkan perkara-perkara sulit pihak tertentu.

Oleh itu, bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku ketika PRU15 pada 19 November ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi satu infografik menegaskan bahawa pengundi tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit/pintar semasa membuat pengundian nanti.

Kredit: SPR via Facebook

Berdasarkan infografik yang dikongsikan SPR, terdapat 10 langkah penting yang perlu diikuti terutama sekali pada langkah keenam yang menekankan mengenai larangan penggunaan telefon bimbit.

Justeru, turutan mengundi semasa di bilik undi adalah seperti yang berikut:-

Masuk bilik undi – Pertama, anda boleh dipersilakan masuk apabila dibenarkan oleh anggota polis yang bertugas mengawal selia pintu masuk di bilik undi.

Serah Mykad – Kedua, serahkan Mykad atau dokumen pengenalan diri dan slip semakan (jika ada) kepada Kerani Pengundian Pertama. Tunjukkan kedua-dua belah tangan untuk diperiksa.

Semakan Mykad – Ketiga, Kerani Pengundian Pertama akan memberikan Mykad atau dokumen pengenalan diri pengundi kepada Kerani Pengundian Kedua untuk pengesahan. Pastikan nombor kad pengenalan dan nama anda yang disebut oleh Kerani Pengundian Pertama adalah tepat.

Celup jari – Keempat, bergerak ke hadapan Kerani Pengundian Kedua. Celupkan jari telunjuk tangan kiri ke dalam botol Dakwat Pilihan Raya apabila diminta oleh Kerani Pengundian Kedua.

Kertas Undi – Kelima, anda akan menerima Kertas Undi daripada Kerani Pengundian Ketiga.

Tinggalkan telefon – Keenam, seperti yang disebutkan pada awal tadi, anda akan bergerak ke meja Ketua Tempat Mengundi (KTM) untuk meninggalkan telefon bimbit/pintar.

Pilih calon – Ketujuh, bergerak ke petak undi dan tandakan ‘X’ pada ruang kosong bersebelahan dengan nama dan simbol calon dalam Kertas Undi dengan menggunakan pen. Perlu diingat, anda hanya boleh pilih satu calon sahaja.

Peti Undi – Kelapan, masukkan semula Kertas Undi tadi ke dalam Peti Undi yang betul.

Ambil semula telefon – Kesembilan, bergerak ke meja KTM sekali lagi untuk mengambil semula telefon bimbit/pintar yang diletakkan tadi.

Beredar – Kesepuluh, segera tinggalkan tempat mengundi setelah selesai mengundi.

Jika dilihat pada langkah keenam, pengundi diminta untuk bergerak ke meja Ketua Tempat Mengundi (KTM) untuk meninggalkan telefon bimbit selepas menerima kertas undi.

Kemudian, pengundi perlu membuang undi dengan hanya memilih satu calon dan memasukkannya ke dalam peti undi.

Setelah selesai mengundi, pengundi akan bergerak ke meja KTM semula untuk mengambil telefon bimbit yang ditinggalkan dan terus keluar daripada tempat mengundi.

Kesimpulannya, jangan lupa untuk meninggalkan telefon anda di meja KTM agar tidak dikenakan sebarang tindakan tegas oleh petugas SPR. Selamat mengundi.

Sumber: SPR