Siakap Keli
kejutan ulang tahun panggil kompang
Gambar: Tangkap layar video tular

Kejutan Bermakna, Lelaki Ini Terkesima Nyanyian Ulang Tahun Kelahiran Diiringi Alunan Kompang

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kejutan Bermakna, Lelaki Ini Terkesima Nyanyian Ulang Tahun Kelahiran Diiringi Alunan Kompang

Apabila meningkat usia, sambutan ulang tahun makin jarang disambut ekoran tidak mempunyai masa dan kadang kala, terselit jua rasa malu untuk menyambutnya dek kerana telah lanjut usia.

Secara umumnya tidak salah untuk menyambutnya, bagi meraikan ulang tahun kelahiran di dunia dan mensyukuri segala nikmat yang telah diberi sepanjang hidup di atas muka bumi ini.

Ulang tahun kelahiran juga merupakan salah satu sambutan yang membuatkan diri terasa dihargai, istimewa dan yang paling penting pada hari tersebut orang itu akan menjadi ‘watak utama’ sepanjang sehari.

Umum mengetahui, negara kita mempunyai pelbagai bangsa, oleh itu tidak salah untuk bangsa lain mencuba segala pakaian, makanan serta menyambut perayaan berbeza dalam menunjukkan penghargaan buat kaum lain.

Baru-baru ini tular satu video di laman Facebook, di mana sekumpulan rakan menyambut ulang tahun kawannya dengan membuat kelainan untuk memberi kejutan kepadanya.

Video yang dikongsi pemilik video, Teo Chong Theng mendapat perhatian ramai ekoran keunikan yang dipaparkan semasa menyambut ulang tahun kawannya di sebuah kedai makan.

Gambar: Tangkap layar video tular

Permulaan video menunjukkan satu alunan yang jarang didengar oleh bangsa Cina, membuatkan rakannya, Leon Toh tidak dapat menangkap situasi yang terjadi di hadapan matanya.

Alunan kompang mula bergema di kedai itu, sehingga Leon Toh berasa malu dan tidak dapat mengawal raut wajahnya ekoran mungkin tidak biasa dengan keadaan seperti itu namun masih kekal tersenyum.

Rancang beri kejutan yang bermakna

Meletakkan elemen keharmonian kaum sebagai rancangan utama, Chong Theng berkata, dia bersama rakannya yang lain memerah idea untuk memberikan sesuatu yang unik ataupun baharu dalam menyambut ulang tahun Leon Toh.

“Ramai yang menganggap bahawa setiap upacara sambutan hari lahir perlu melakukan tarian singa beserta yang lain (bagi kaum Cina). 

“Jadi mengapa tidak menjemput orang yang bermain kompang daripada bangsa lain untuk menyambut sambutan ulang tahun bagi memeriahkan suasana, dalam masa yang sama dapat merapatkan hubungan antara rakan dan kaum yang lain,” katanya ketika ditemu bual Siakap Keli baru-baru ini.

Jelas Chong Theng, ulang tahun kelahiran setiap bangsa dan kaum yang ada di negara ini perlu diraikan dan disambut asalkan tidak melanggar ‘hukum-hakam’ yang ditetapkan.

“Saya rasa ini juga satu mesej yang boleh disampaikan, bahawa setiap bangsa boleh meraikan atau menggunakan tradisi kaum lain dalam menyambut apa-apa perayaan asalkan tidak melebihi apa yang ditetapkan.

“Apa yang ditunjukkan merupakan perkara yang positif dalam meraikan ulang tahun rakan saya,” tambah Chong Theng.

Kumpulan kompang itu dilihat memainkan lagu hari lahir dalam bahasa Melayu serta Mandarin. Tiada siapa yang dapat membayangkan bahawa campuran bahasa Mandarin dan alunan kompang membentuk satu irama yang boleh diterima umum.

Sambutan itu pastinya akan diingati oleh Leon Toh dan akan memberikan pengalaman buatnya kerana ia ulang tahun kelahiran unik yang diraikan dengan alunan kompang, yang dimainkan oleh sekumpulan remaja melayu.

Sumber: Teo Chong Theng via Facebook

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana