Siakap Keli
nasa dedah imej pembentukan bintang proto
Gambar: Twitter NASA Webb Telescope

Baru Berusia 100,000 Tahun, NASA Dedah Imej Pembentukan Bintang Proto

Baru Berusia 100,000 Tahun, NASA Dedah Imej Pembentukan Bintang Proto

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) semalam telah mendedahkan satu imej terbaru yang berjaya dirakam oleh Teleskop Angkasa James Webb yang dikenali sebagai bintang proto (protostar).

Menurut NASA, imej itu dicerap dengan menggunakan cahaya inframerah untuk mendedahkan ciri bintang proto yang terselindung dan ia memberi gambaran mengenai permulaan bintang baharu.

Bintang proto berada dalam lingkungan awan gelap dan ia digelar sebagai L1527.

Ia tersembunyi dalam ruang yang berbentuk seperti jam pasir atau digelar fiery hourglass.

“Cakera proto-planet yang terletak di bahagian tepi dilihat sebagai garis gelap di bahagian tengah ruang itu.

“Cahaya daripada bintang proto menembusi di bahagian atas dan di bawah cakera tersebut, ia dalam masa yang sama menerangi rongga dalam gas dan habuk di sekelilingnya,” katanya.

Tambah NASA, ciri-ciri yang paling lazim dapat dilihat di kawasan bintang proto itu adalah awan kelihatan berwarna biru dan oren.

Kawasan yang kelihatan berwarna biru adalah tempat habuk paling nipis. Semakin tebal lapisan habuk, semakin sedikit cahaya biru yang dapat ‘melarikan diri’ dan mewujudkan poket oren.

Bintang itu juga masih lagi di ‘usia muda’ iaitu hanya sekitar 100,000 tahun.

“Memandangkan umur dan kecerahannya dalam cahaya inframerah jauh, L1527 dianggap sebagai protostar Kelas 0, iaitu berada di peringkat awal pembentukan bintang.

“Ia masih belum melalui proses pelakuran nuklear yang menjadi ciri penting bagi setiap bintang.

“Walaupun bentuknya kelihatan sfera tetapi ia tidak stabil,” jelas NASA.

Sumber: NASA

Sofea

There's always another side to every story