Siakap Keli
qatar alkohol
Gambar: Pixabay

Qatar Kuat Kuasa Perintah Larang Jual Minuman Beralkohol Di Stadium Semasa Piala Dunia

Qatar Kuat Kuasa Perintah Larang Jual Minuman Beralkohol Di Stadium Semasa Piala Dunia

Qatar pada hari ini telah mengumumkan larangan penjualan minuman beralkohol kepada peminat di dalam stadium semasa perlawanan Piala Dunia yang berlangsung selama sebulan, lapor The New York Times.

Keputusan mengenai larangan penjualan minuman beralkohol itu telah disahkan pada pagi tadi oleh pegawai bertugas Piala Dunia.

Perubahan itu merupakan langkah terbaru yang paling dramatik dalam perancangan penjualan alkohol dan dijangka akan meningkatkan ketegangan antara FIFA, badan induk global bola sepak dengan pihak penganjur.

Qatar merupakan sebuah negara Islam Konservatif di mana penjualan alkohol dikawal ketat. Namun begitu, penguatkuasaan peraturan itu akan merumitkan perjanjian melibatkan penajaan antara FIFA dengan Budwiser berjumlah RM 341 juta.

Larangan itu juga diramal akan menimbulkan kemarahan dalam kalangan peminat dan penganjur mungkin berdepan kekacauan menjelang kurang 48 jam pembukaan temasya tersebut.

Panduan rasmi organisasi peminat menyatakan bahawa ‘pemegang tiket akan mempunyai akses kepada produk Budweiser, Budweiser Zero dan Coca-Cola dalam kawasan stadium’ sekurang-kurangnya tiga jam sebelum perlawanan dan satu jam selepas perlawanan.

Larangan penjualan alkohol hanya kepada peminat di stadium, namun mereka yang berada di suite mewah yang dikhaskan untuk pegawai FIFA dan tetamu VVIP akan disediakan minuman beralkohol.

Perintah larangan itu telah menyebabkan berpuluh-puluh khemah bir berwarna merah yang bertulis jenama Budweiser dipindahkan ke lokasi yang berasingan di lapan stadium Piala Dunia.

Qatar telah bergelut dalam isu alkohol sejak negara Teluk itu diumumkan sebagai penganjur bagi Piala Dunia pada 2010. Alkohol boleh didapati di negara itu, tetapi jualannya dikawal ketat dan kebanyakan pelawat hanya dibenarkan membeli bir dan minuman beralkohol lain di bar hotel berkelas.

Penganjur Piala Dunia enggan mengulas lanjut mengenai rancangan baru larangan alkohol yang dibuat pada hari Jumaat tersebut.

Wakil bagi Budweiser juga berkata pada minggu lalu mereka terlepas pandang kepada perubahan awal Qatar dalam strategi penjualan mereka untuk Piala Dunia. Mereka juga tidak memberi maklum balas segera apabila diminta untuk memberikan komen.

Minggu lalu, Qatar cuba meredakan ketegangan berhubung penjualan bir dengan mengatakan bahawa rancangan operasi masih belum dimuktamadkan dan perubahan masih akan dilakukan di ‘lokasi kawasan peminat tertentu’.

FIFA sebelum ini berdepan dengan kritikan hebat selama bertahun-tahun berikutan keputusannya untuk membawa kejohanan itu ke Qatar.

BACA: PRU15: Tambang Percuma Esok Untuk Semua Rangkaian Rel & Bas Rapid KL, Penang & Kuantan

Sumber: The New York Times

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka