Siakap Keli
penunggang motosikal maut
Sumber: Sinar Harian

Penunggang Motosikal Maut, Rempuh Kereta Brek Mengejut Elak Langgar Wanita

Penunggang Motosikal Maut, Rempuh Kereta Brek Mengejut Elak Langgar Wanita

Seorang lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang brek mengejut di lebuh raya Temerloh.

Kejadian dilaporkan berlaku di Kilometer 98.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur, pada Jumaat.

Dalam nahas itu, mangsa yang berusia 34 tahun dan bekerja sebagai pemuzik di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Berdasarkan video yang tular di media sosial, motosikal ditunggang mangsa terpelanting sebelum tercampak ke atas ruang muatan kenderaan yang dirempuh.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kejadian itu terjadi kira-kira jam 4.45 petang.

Berdasarkan siasatan awal, kemalangan itu berpunca daripada seorang wanita berusia 35 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero Sport.

Wanita tersebut menghentikan kenderaannya di bahu jalan dan bertindak melintas dari kiri ke kanan lebuh raya.

Ini menyebabkan pemandu kenderaan Mitsubishi Triton menekan brek secara mengejut bagi mengelak daripada melanggar wanita berkenaan.

“Pada masa yang sama, mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki GSX-R1000 dari arah belakang gagal mengelak lalu terus melanggar bahagian belakang kenderaan tersebut.

“Mangsa terjatuh di lorong laju, manakala motosikalnya tercampak ke bahagian belakang Mitsubishi Triton yang dirempuhnya,” katanya.

Menurut Mazlan, kemalangan tersebut telah meragut nyawa mangsa yang cedera parah di bahagian dada dan penunggang motosikal itu maut di tempat kejadian.

“Susulan kejadian, tangkapan telah dibuat ke atas wanita pemandu SUV dan penumpang, seorang lelaki warga China berusia 37 tahun untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana cuai hingga menyebabkan kematian,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas pemandu dan penumpang SUV yang ditahan didapati negatif dadah.

BACA: Isu Penggunaan Benzoil Peroksida Dalam Tepung Gandum Tular Semula, KKM Beri Penjelasan

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah