Siakap Keli
Isu Penggunaan Benzoil Peroksida
Kredit: Bernama

Isu Penggunaan Benzoil Peroksida Dalam Tepung Gandum Tular Semula, KKM Beri Penjelasan

Isu Penggunaan Benzoil Peroksida Dalam Tepung Gandum Tular Semula, KKM Beri Penjelasan

Baru-baru ini, tular semula di media sosial berkenaan isu penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum yang didakwa boleh menjejaskan kesihatan.

Susulan isu berkenaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengeluarkan kenyataan bagi menjawab isu-isu yang dibangkitkan.

Menurut KKM, perkara ini telah dijelaskan dalam dua kenyataan media yang dikeluarkan sebelum ini pada tahun 2012 dan 2017 bagi mengelakkan kekeliruan awam.

KKM turut memaklumkan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 membenarkan penggunaan benzoil peroksida sebagai kondisioner makanan di bawah aditif makanan dalam tepung pada kadar tidak melebihi 50mg/kg.

“Codex Alimentarius Commission (CAC), iaitu badan antarabangsa yang ditubuhkan di bawah Joint FAO/WHO Food Standards Programme pula telah membenarkan penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum pada kadar tidak melebihi 60mg/kg.

“Dalam hal ini, penggunaan benzoil peroksida telah dinilai dan disahkan selamat untuk digunakan dalam makanan dalam jumlah tertentu di Malaysia dan luar negara oleh badan penilai antarabangsa iaitu Jawatankuasa Pakar Mengenai Bahan Tambah Makanan (JECFA),” ujar KKM.

Pada waktu yang sama, KKM akan sentiasa bersedia dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat bukti-bukti saintifik terkini daripada badan-badan antarabangsa seperi Codex dan JECFA yang membuktikan mana-mana bahan makanan adalah berbahaya kepada kesihatan.

Lanjutan daripada itu, KKM juga sentiasa melaksanakan pemantauan ke atas pelbagai jenama tepung di pasaran bagi memastikan ia mengandungi benzoil peroksida dalam kadar yang dibenarkan.

“Setakat ini, tiada mana-mana jenama tepung di pasaran yang mengandung benzoil peroksida melebihi paras yang dibenarkan di bawah undang-undang,” tambah KKM lagi.

KKM juga sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Dalam pada itu, para pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.

Malah pengguna boleh memeriksa melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my, atau laman Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

BACA: Dah Tahu Punca Kematian, Kenapa Perlu Lakukan Postmortem? Ini Jawapan Doktor

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Athirah

When nothing goes right, go left.