Siakap Keli

DAP Seru Semua Pihak Kekal Tenang Dan Sabar, Tunggu Keputusan YDP Agong

DAP Seru Semua Pihak Kekal Tenang Dan Sabar, Tunggu Keputusan YDP Agong

Pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 terus menjadi bualan apabila sehingga ke jam ini, Malaysia masih belum membentuk kerajaan baharu dan belum melantik seorang Perdana Menteri dalam kalangan Ahli Parlimen yang memenangi kerusi dalam PRU 15.

Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP), Anthony Loke Siew Fook dalam satu kenyataan media menyatakan, ketika proses pembentukan kerajaan baru selepas PRU15 masih berjalan, DAP menyeru semua pihak untuk kekal bertenang dan sabar menunggu keputusan muktamad daripada DYMM Yang Di-Pertuan Agong.

“Proses yang sedang berjalan ini adalah sesuatu yang baru untuk negara kita namun ia adalah suatu proses yang biasa yang perlu dilalui dalam sistem Demokrasi Berparlimen ala Westminster dalam keadaan di mana tidak ada satu parti atau gabungan memenangi kerusi majoriti di Dewan Rakyat,” tambah Anthony.

Beliau juga menegaskan, DAP akan sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Rukun Negara dan mempertahankan Keluhuran Perlembagaan Malaysia. DAP juga menyeru semua pihak dan mengarahkan semua anggota DAP supaya sentiasa menjaga keharmonian dan ketenteraman awam sepanjang masa .

Akhir sekali Anthony turut berkata, keamanan dan kedamaian di kalangan masyarakat kita mesti dipelihara dalam meraikan proses demokrasi yang semakin subur di negara kita.

BACA: PN Terima Satu Lagi Surat Akuan Berkanun, Sokong Muhyiddin Jadi PM – Hamzah

Sumber: Anthony Loke Siew Fook

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)