Siakap Keli
Beri Kepercayaan Kepada Agong Leraikan Segala Permasalahan
Gambar: Bernama

Beri Kepercayaan Kepada Agong Leraikan Segala Permasalahan – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) — Semua pihak perlu meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi meleraikan segala permasalahan yang dihadapi negara ketika ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata justeru, gabungan politik itu perlu kekal komited dengan keputusan menjadi pembangkang seperti yang diputuskan pucuk pimpinan.

“Kita komited dalam status pembangkang tetapi sekarang situasinya berbeza pula, kita jadi pembangkang pun kena bising, mahu pro sana pun kena bising, mahu pro sinun pun kena bising.

“Jadi saya berharap semua pihak bertenang dan untuk kita di BN ini, saya berpendapat percayalah kepada Presiden,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau merujuk kepada kebuntuan berhubung pembentukan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri ke-10 yang berlarutan selepas PRU15 berakhir pada 19 Nov lepas apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah 112 kerusi Parlimen.

Keputusan PRU15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, Perikatan Nasional (73), Pakatan Harapan (82), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO berkata Dewan Tertinggi BN memutuskan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan politik bagi membentuk kerajaan Persekutuan dan bersetuju menjadi pembangkang.

Sumber: BERNAMA

Muhd Iqbal