Siakap Keli
Agong Titah GPS Pertimbang Tubuhkan Kerajaan Perpaduan
Gambar: Bernama

Agong Titah GPS Pertimbang Penubuhan Kerajaan Perpaduan

KUCHING, 23 Nov (Bernama) — Gabungan Parti Sarawak (GPS) dinasihatkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar mempertimbangkan penubuhan kerajaan perpaduan bagi mengakhiri kemelut politik negara yang berlaku sekarang.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof yang mengetuai wakil GPS untuk menghadap Al-Sultan Abdullah pagi tadi berkata nasihat baginda telah disampaikan kepada Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Saya tadi tidak dapat membuat keputusan (semasa sesi menghadap) dan kita mendengar pandangan tuanku dan akan membawa kepada pucuk pimpinan GPS. Jadi tadipun kita telah memberikan taklimat kepada premier kita (Abang Johari),” katanya.

Bercakap kepada media selepas taklimat itu, Fadillah berkata selain beliau, GPS turut diwakili Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Aaron Ago Dagang.

Menurutnya setakat ini GPS masih berpegang kepada kenyataan yang dibuatnya sebelum ini untuk menubuhkan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun mereka akan tetap akur dengan keputusan yang akan dibuat oleh Al-Sultan Abdullah.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15, GPS telah memenangi 23 daripada 31 kerusi parlimen di Sarawak untuk muncul sebagai gabungan keempat terbesar selepas Pakatan Harapan (PH) yang menguasai 82 kerusi, PN (73) dan BN (30).

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?