Siakap Keli
Gambar: DHA/Twitter

Detik-Detik Gempa Bumi Kuat Gegar Turki, Mangsa Cedera Dilapor Meningkat

Detik-Detik Gempa Bumi Kuat Gegar Turki, Mangsa Cedera Dilapor Meningkat

Susulan gempa bumi kuat yang melanda wilayah Duzce di barat laut Turki, angka mangsa yang dilaporkan cedera meningkat kepada 50 orang, lapor BBC.

Menurut AFAD, seramai 37 orang cedera di daerah Duzce manakala sembilan lagi mangsa cedera di wilayah Istanbul, Sakarya, Bolu dan Zonguldak.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu berkata tiada kematian yang direkodkan akibat kejadian tersebut.

Menerusi video yang dimuat naik oleh pengguna media sosial, dapat dilihat detik-detik ketika gempa tersebut berlaku.

Manakala, dalam satu video yang lain, ia memaparkan kerosakan yang berlaku selepas kejadian gempa bumi tersebut.

Orang ramai dilihat memberhentikan kenderaan masing-masing di jalan raya dan ada yang mengalami kecederaan.

Gempa bumi berukuran 6.0 skala Richter yang berpusat di daerah Golyaka itu telah melanda negara tersebut pada jam 4.08 pagi waktu tempatan (0108 GMT).

Susulan kejadian itu, satu lagi gempa bumi berukuran 4.7 skala Richter juga dilaporkan berlaku kira-kira 20 minit selepas gempa pertama.

Malah, gempa itu juga dilaporkan berlaku pada kedalaman 6.81 kilometer dari dasar laut.

Bukan itu sahaja, gegaran turut dirasai di Istanbul dan wilayah lain, termasuk barat laut Bolu, Sakarya, Kocaeli, Bursa, Bilecik, dan wilayah Izmir dan Kutahya barat, serta ibu kota Ankara.

Gambar: DHA Via DW

AFAD memaklumkan akibat gempa itu, sebanyak 74 gegaran susulan direkodkan dan pemotongan bekalan elektrik sedang dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, Gabenor Duzce, Cevdet Atay mengumumkan bahawa sekolah-sekolah ditutup pada Rabu akibat kejadian itu.

Terdahulu, pada tahun 1999, wilayah Duzce pernah dilanda gempa bumi berukuran 7.2 skala Richter yang berlangsung selama 30 saat dan telah mengorbankan seramai 710 orang dan mencederakan 2,679 mangsa yang lain.

Kira-kira 80% bangunan di wilayah Duzce telah dibina semula susulan gempa bumi yang paling teruk melanda wilayah berkenaan.

Sumber: Mirror, BBC News

BACA: Elak Kena ‘Sidai’ & Boros, Ini 9 Tips Suami Boleh Guna Bila Nak Teman Isteri “Shopping” Hujung Tahun

BACA JUGA: Jangan Tak Tahu, Ini 6 Hak Yang Wanita Boleh Tuntut Kalau Menetap Di Malaysia

Farah Nabilah