Siakap Keli
Gambar Hiasan via Bernama

Elak ‘Tragedi 2021’ Berulang, KL Berisiko Rendah Ditenggelami Banjir Kerana 12 Sebab Ini

Kisah hitam yang melanda negara pada Disember tahun lalu sehingga kini masih menjadi igauan bagi setiap mangsa. Apa tidaknya, banyak tempat yang ditenggelami banjir sehinggakan ada rumah yang terhapus ‘dimamah’ air banjir. Sekiranya diimbas kembali, banyak kawasan yang terlibat dengan bencana ini iaitu bukan sahaja di kawasan luar bandar, malah turut melibatkan bandar-bandar utama.

Antara tempat yang terjejas teruk pada banjir tahun lalu adalah sekitar Kuala Lumpur. Pelbagai situasi dapat kita lihat apabila kotaraya yang sangat pesat membangun tapi turut ditenggelami banjir. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa taburan hujan pada musim tengkujuh pada tahun lepas adalah luar biasa sehinggakan sungai, longkang, empangan tidak dapat menampung air sehingga melimpah ke atas jalan.

‘Tragedi 2021″ yang menimpa Malaysia boleh dijadikan sebagai salah satu asbab untuk mengambil tindakan pantas agar ianya tidak berulang lagi pada tahun ini. Bertepatan dengan perkara tersebut, Kementerian Wilayah Persekutuan telahpun mengorak beberapa langkah yang efektif untuk mengelakkan luka tahun lepas berdarah kembali. Dengan pelaksanaan tindakan tersebut, boleh dikatakan bahawa Kuala Lumpur kini adalah rendah risiko untuk terlibat dengan banjir yang teruk. Apa tindakan tersebut?

Pelan Tindakan Jangka Pendek – Pengurusan Bencana Di WP Kuala Lumpur

Mengikut kajian dan pemantauan, terdapat 31 lokasi hotspot banjir di sekitar Kuala Lumpur. Oleh yang demikian, KWP telahpun melaksanakan 12 Pelan Tindakan Jangka Pendek bagi mengatasi dan mengelakkan banjir daripada melanda Kuala Lumpur lagi. Antara pelan tindakan tersebut adalah seperti di bawah:

  1. Menempatkan petugas warden trafik – Kesiapsiagaan menghadapi banjir
  2. Melebar & menambah Scupper Drain untuk memudahkan air mengalir ke sistem perparitan
  3. Pemasangan pam air mudah alih bagi memindahkan air ke kawasan lain
  4. Pembersihan & naik taraf longkang bagi melancarkan laluan air ke sistem perparitan
  5. Pengorekan kelodak & pembersihan kolam takungan dan sungai bagi mengekalkan kapasiti kolam takungan
  6. Pemasangan Flap Gate bagi mengelakkan air mengalir masuk ke kawasan rendah
  7. Meletakkan guni pasir bagi mengelakkan limpahan air
  8. Mesej Amaran Banjir Kilat melalui aplikasi MOBIS
  9. Pemeriksaan sistem visual saliran bawah tanah bagi memantau kondisi saliran
  10. Membina tembok penahan banjir bagi menahan tanah daripada hakisan dan runtuh
  11. Pemasangan kamera bawah tanah bagi memantau sistem saliran semasa
  12. Membina Inspection Chamber – Akses ke longkang bawah tanah bagi pemeriksaan & penyelenggaraan.

Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai pelan tindakan tersebut, anda boleh menontonnya menerusi video di bawah:

Keberkesanan 12 pelan tindakan jangka pendek ini nampaknya membuahkan hasil apabila lokasi titik panas banjir telah berjaya dikurangkan. Menurut KWP, daripada 31, hanya tinggal 3 sahaja lagi lokasi yang kadang-kala dinaiki air disebabkan hujan yang berterusan.

Bencana banjir ternyata memberikan ancaman kepada pelbagai perkara, antaranya ialah kepada penduduk sendiri, harta benda dan juga boleh menjejaskan pendapatan serta ekonomi seseorang. Tindakan pantas KWP menggerakkan 12 pelan tindakan jangka pendek wajar dipuji kerana telah bersedia terlebih dahulu bak kata pepatah ‘Sediakan payung sebelum hujan’.

Bagi melihat pelbagai lagi aktiviti dan tindakan warga KWP untuk memastikan bandaraya Kuala Lumpur terus harmoni, anda boleh melayari pautan laman web dan Facebook KWP.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa