Siakap Keli
Lahir Dari Embrio Beku 30 Tahun
Gambar: hellodoktor

Kembar Lahir Daripada Embrio Beku Sejak 30 Tahun Lalu

Sepasang anak kembar di Amerika Syarikat (US) selamat dilahirkan daripada embrio yang telah dibekukan sejak 30 tahun lalu baru-baru ini, memetik laporan CNN.

Menurut Pusat Derma Embrio Kebangsaan US, pasangan kembar Lydia dan Timothy Ridgeway yang merupakan zuriat kepada pasangan Rachel dan Philip Ridgeway adalah embrio yang paling lama yang menghasilkan kelahiran.

Walaupun Pusat Kawalan Pencegahan Penyakit AS menyatakan bahawa embrio beku yang lebih tua telah digunakan, namun tiada data tepat atau rekod mampu dibuktikan bahawa embrio lebih tua itu berjaya hasilkan kelahiran hidup.

Sementara itu, pasangan Rachel dan Philip Ridgeway itu juga turut dikurniakan empat anak yang lain, masing-masing berumur lapan, enam, tiga dan dua tahun namun tiada seorang pun yang dilahirkan melalui IVF atau penderma.

“Saya berumur lima tahun ketika Tuhan (kepercayaannya) ‘menghidupkan’ Lydia dan Timothy. Daripada satu sudut, mereka adalah bayi tertua kami, tetapi melihat kepada sudut lain mereka adalah anak terkecil kami,” kata Ridgeway.

‘Embrio disimpan hampir tiga dekad’

Gambar: CNN

Difahamkan embrio tersebut dicipta menggunakan persenyawaan in-vitro daripada suami yang berusia 50-an dan menggunakan penderma telur berusia 34 tahun.

Menurut CNN, embrio itu mula dibekukan pada 22 April 1992, iaitu selama hampir tiga dekad diletakkan di atas penyedut kecil dan disimpan dalam cecair nitrogen pada suhu -200  dalam ruang yang kelihatan seperti tangki propana.

Sementara itu, menurut doktor peribadi Ridgeways, Dr John Gordon, embrio tersebut disimpan di dalam makmal kesuburan di Pantai Barat sehingga 2007 apabila pasangan yang menciptanya mendermakannya kepada Pusat Derma Embrio Kebangsaan di Knoxville, Tennessee.

“Kami tidak pernah bercadang untuk menentukan bilangan anak, malah kami hanya berserah kepada rezeki yang diberikan Tuhan kepada kami.

“Tetapi, apabila kami mendengar tentang pengambilan embrio, kami lantas berfikir untuk melakukan sesuatu,” kata Ridgeway.

 

Sepasang anak kembar selamat dilahirkan daripada embrio yang paling lama membeku selama 30 tahun pada 31 Oktober lalu.
Kredit: CNN

‘Tidak memilih embrio paling lama, tetapi berdasarkan ciri-ciri penderma’

Dalam pemilihan embrio, pasangan tersebut perlu melalui pangkalan data penderma yang tidak menyenaraikan berapa lama embrio itu dibekukan.

Tetapi, ia hanya menyenaraikan ciri-ciri penderma seperti etnik, umur, ketinggian, berat, genetik, sejarah kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan kecenderungan atau hobi.

Malah, dalam beberapa fail juga terdapat gambar pasangan (penderma embrio) itu.

“Seperti cerita pendek Rip Van Winkle”

Pakar Kesuburan di Atlanta, Dr Jim Toner berkata, “Ia tidak kelihatan seperti sperma atau telur atau embrio yang disimpan dalam nitrogen cecair.

“Malah, seperti cerita pendek Rip Van Winkle. Ia baru bangun 30 tahun kemudian dan tidak pernah tahu yang ia sedang tidur,” katanya.

Bagaimanapun, umur embrio tidak menjejaskan kesihatan bayi. Tetapi, perkara penting adalah umur wanita yang akan mendermakan telur untuk dimasukkan ke dalam embrio.

Sementara itu, pakar kesuburan di New York, Dr Zaher Merhi berkata, “Jika pesakit berumur 25 tahun, besar kemungkinan embrionya akan dapat bertahan. Ini semua tentang telur dan embrio serta apabila embrio itu dikeluarkan.”

Bagi pasangan itu pula, mereka mahukan anak-anak mereka terlibat sepanjang proses itu. Jadi mereka telah menerangkan kepada anak-anaknya setiap langkah-langkah yang dilalui.

“Mereka teruja dan gembira pada setiap langkah sepanjang proses tersebut. Mereka menyayangi adik-adik mereka dan bermain bersama-sama, malah mereka juga tidak sabar untuk mengetahui jantina adik kembar mereka itu,” kata Ridgeway.

Bayi kembar mereka selamat dilahirkan dengan sihat iaitu Lydia seberat 2.3 kilogram manakala Timothy pula seberat 3.03 kilogram.

“Mereka adalah bayi yang bersaiz normal. Ini benar-benar rahmat Tuhan kerana mempermudahkan setiap urusan mereka,” kata Rachel.

Menurut CNN, sebelum ini pemegang rekod yang paling lama iaitu Molly Gibson yang dilahirkan pada 2020 daripada embrio yang telah dibekukan selama hampir 27 tahun.

Malah, Molly dikatakan telah mengambil rekod kakaknya sendiri, Emma yang turut dilahirkan daripada embrio yang dibekukan selama 24 tahun.

Sumber: CNN

Florence Nuar

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.