Siakap Keli

Drama Original Tempatan Pertama iQIYI Catat Lebih 100 Juta Tontonan Digital; Peneraju OTT Asia Buktikan Penghasilan Kandungan Original Tempatan Berpotensi Jana Keuntungan

Rampas Cintaku menjadi judul tempatan teratas yang sanggup dibayar oleh penonton di Malaysia, menjadikannya sebagai drama Melayu paling menguntungkan di iQIYI

Penampilan unsur-unsur tempatan dalam pemilihan kandungan, senarai tontonan dengan pembayaran fleksibel dan penjadualan tontonan merupakan strategi iQIYI untuk mencapai keuntungan di Asia Tenggara

Kuala Lumpur, 25 November 2022 – Drama original tempatan pertama keluaran peneraju penstriman Asia, iQIYI ‘Rampas Cintaku’ melabuhkan tirai musim tayangannya dengan kejayaan memberangsangkan apabila berjaya meraih lebih 100 juta tontonan digital, sekali gus meletakkannya sebagai kandungan tempatan teratas yang sanggup dibayar oleh rakyat Malaysia. Ia adalah permulaan yang kukuh kepada rangkaian siri original tempatan platform OTT ini dalam membuka jalan kepada produk original tempatan untuk menawarkan potensi aliran keuntungan kepada iQIYI di Malaysia.

Berdasarkan laporan Asia Video Content Dynamics 2022, dari Januari hingga Julai 2022, Malaysia merekodkan sejumlah 2.4 bilion jam penstriman video. Walaupun penggunaan OTT di Malaysia dipelopori kandungan Inggeris dan Korea sejak beberapa tahun lalu, iQIYI bagaimanapun melihat permintaan dan keutamaan yang semakin meningkat bagi kandungan tempatan dalam kalangan rakyat Malaysia. Beberapa drama Melayu telah melakar kejayaan besar di platform penstriman ini, dengan ‘Rampas Cintaku’ menempa nama sebagai drama Melayu paling menguntungkan.

Sepanjang 14 episod tayangannya, ‘Rampas Cintaku’ secara konsisten mengungguli carta iQIYI Malaysia dalam kedudukan dua tempat teratas. Drama itu juga trending di platform media sosial TikTok sepanjang tempoh tayangannya.

Mengulas mengenai kejayaan ‘Rampas Cintaku’, Dinesh Ratnam, Pengurus Negara iQIYI Malaysia, Singapura dan Brunei berkata, “Kami sangat gembira apabila karya original tempatan dan Melayu pertama kami bermula dengan kukuh dan ianya di luar jangkaan kami. Kami juga melihat bahawa rakyat Malaysia sanggup membayar untuk menonton karya tempatan premium ini. Kadar tontonan yang sangat tinggi ini jelas menunjukkan keinginan yang kukuh terhadap kandungan tempatan dengan jalan penceritaan asli yang nyata dan berbeza.”

Berhubung strategi penyusunan kandungan jenama, Dinesh berkata, “Selaras dengan komitmen kami untuk menjadi hos kepada hiburan Asia yang digemari, kami menilai perbezaan antara permainan nombor dengan pendekatan setempat apabila ia berkaitan dengan sumber cerita.

“Fokus kami adalah untuk lebih berani membawakan jalan cerita unik yang mewakili intipati komuniti tempatan yang tidak dimiliki oleh platform lain, selain mewujudkan ekosistem kandungan tempatan yang kukuh. Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menambah nilai kepada cita rasa pelanggan kami yang pelbagai, pilihan hiburan dan mereka yang sanggup membayar untuk menyokong kandungan yang dahulunya khusus atau percuma. Mengambil kejayaan ‘Rampas Cintaku’ sebagai contoh, karya original tempatan ini mencipta laluan yang sangat meyakinkan untuk menjana pendapatan dan keuntungan.”

Mengambil contoh kemajuan China dalam inovasi, iQIYI sentiasa menjadi peneraju dalam perubahan inovatif untuk membentuk model perniagaan mampan yang unik kepada ekosistem kandungan Asia. Daripada mengubah suai penjadualan kepada lebih mesra pengguna dan merombak reka bentuk aspek pembayaran yang fleksibel hinggalah kepada pelancaran ‘Sorry Naik Lori’, hasil perkongsian integrasi kandungan terbaharu dengan kerjasama foodpanda Malaysia, iQIYI ingin membawakan industri hiburan Asia Tenggara dan potensi penjanaan keuntungan ke peringkat yang lebih meluas.

Amira

Love yourself.