Siakap Keli
Kredit BERNAMA

Jumlah Perceraian Menurun 7.1 Peratus Pada 2021 – Perangkaan

Jumlah perceraian menurun 7.1 peratus pada 2021 – Perangkaan

PUTRAJAYA, 25 Nov (Bernama) — Jumlah kes perceraian di negara ini menurun 7.1 peratus daripada 47,242 kes pada 2020 kepada 43,934 tahun lepas, mengikut Stastistik Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata penurunan itu, mungkin disebabkan oleh penutupan Mahkamah Syariah, Mahkamah Sivil dan Jabatan Pendaftaran Negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac 2020 hingga ke 21 Nov 2021, dan jumlah kes terhad yang boleh dikendalikan mahkamah berikutan prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata tiga negeri yang mencatatkan penurunan paling tinggi bagi kes perceraian orang Islam ialah di Sarawak, diikuti Perlis dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun bagi orang bukan Islam, kes perceraian meningkat 30.4 peratus dari 9,419 pada 2020 kepada 12,284 tahun lepas dengan Selangor, Kedah dan Kuala Lumpur merupakan tiga negeri mencatatkan kadar perceraian bukan Islam tertinggi.

Mohd Uzir berkata terdapat peningkatan sebanyak 15.4 peratus dalam jumlah perkahwinan iaitu daripada 186,297 perkahwinan pada 2020 kepada 214,943 pada 2021.

“Tiga negeri yang mencatatkan perkahwinan dalam kalangan orang Islam ialah di Kelantan (61.3 peratus) diikuti Labuan (56.0 peratus) dan Putrajaya (37.3 peratus), manakala perkahwinan dalam kalangan bukan Islam menurun 4.7 peratus dari 40,854 pada 2020 kepada 38,941 pada 2021,” katanya.

Beliau berkata hampir lapan peratus jumlah perkahwinan pada 2021 merupakan perkahwinan campuran iaitu satu peningkatan 11.7 peratus daripada 14,448 perkahwinan dari 2020 ke 16,142 tahun lepas.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad