Siakap Keli
Kepulauan Widi Di Indonesia Dilapor Bakal Dilelong
Kredit: CNN

Berkeluasan 10,000 Hektar, Kepulauan Widi Di Indonesia Dilapor Bakal Dilelong

Berkeluasan 10,000 Hektar, Kepulauan Widi Di Indonesia Dilapor Bakal Dilelong

INDONESIA – Kepulauan di Indonesia yang dikenali sebagai ‘Widi Reserve’ dilapor akan dilelong dalam salah satu urus niaga hartanah yang paling menarik di Asia.

Memetik laporan CNN, kawasan yang mempunyai lebih 100 pulau itu terletak di timur Indonesia di kawasan ‘Coral Triangle’ dan mempunyai keluasan melebihi 10,000 hektar.

Malah, ia turut dikatakan hampir sama dengan keluasan kawasan Pulau Bora Bora.

Menurut undang-undang di Indonesia, warganegara luar tidak dibenarkan membeli atau memiliki pulau di negara berkenaan.

Walau bagaimanapun, masalah tersebut dapat diatasi jika pemilik baharu memperoleh saham dalam PT. Leadership Islands Indonesia (LII), iaitu sebuah syarikat induk di Indonesia.

Berikutan itu, pemilik kemudiannya berhak membangunkan pulau itu mengikut kehendak mereka.

Dalam pada itu, Naib Presiden Eksekutif untuk wilayah EMEA, Charlie Smith, turut menjangkakan bidaan yang tinggi dalam lelongan pulau tersebut.

“Setiap jutawan dibenarkan untuk membeli sebuah pulau persendirian, namun hanya seorang sahaja yang dapat memiliki peluang eksklusif yang tersebar di lebih 100 pulau ini,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Walaupun pulau tersebut bakal dilelong, tidak dapat dinafikan bahawa pulau tersebut mempunyai salah satu landskap yang dianggap paling cantik di Indonesia dengan keunikan terumbu karang, pokok bakau dan berada kira-kira 150km dari tepi pantai.

Bukan itu sahaja, pulau tersebut juga dikatakan hanya boleh dilihat dengan menggunakan pesawat persendirian.

Kredit: CNN

Sementara itu, tiada harga yang akan ditetapkan untuk membeli pulau tersebut, namun pembida akan diminta untuk meletakkan deposit sebanyak $100,000 untuk membuktikan bahawa mereka benar-benar serius mahu membeli pulau tersebut.

Lelongan itu dikatakan akan bermula pada 8 Disember dan akan berlangsung sehingga 14 Disember.

Sumber: CNN

Farah Nabilah