Siakap Keli
Gambar: WSB

Seorang Terbunuh, Lima Cedera Dalam Kejadian Tembakan Di Atlanta

Seorang Terbunuh, Lima Cedera Dalam Kejadian Tembakan Di Atlanta

ATLANTA – Sekurang-kurangnya seorang terbunuh manakala lima lagi cedera dalam kejadian tembakan yang berlaku di Market Street berhampiran stesen Atlantik di barat laut Atlanta pada malam Sabtu.

Menurut laporan CNN, sekumpulan remaja telah dibawa keluar dari stesen Atlantik oleh pegawai polis Atlanta kira-kira jam 8 malam kerana dipercayai telah berkelakuan buruk dan melanggar perintah berkurung di stesen berkenaan.

Dalam pada itu, perselisihan dikatakan mula berlaku sewaktu mereka berjalan menghampiri 17th Street dan bunyi tembakan turut kedengaran selepas itu.

Menurut Komander Polis Atlanta, lima mangsa yang cedera kini masih berada di hospital.

“Seorang lelaki telah terbunuh di tempat kejadian dan beberapa mangsa yang lain telah dibawa ke hospital berdekatan.

“Pada masa ini, detektif yang berada di tempat kejadian sedang berusaha untuk mendapatkan petunjuk mengenai kes berkenaan serta mengenal pasti suspek yang terlibat,” tambah pihaknya lagi dalam suatu kenyataan.

Walaupun umur mangsa yang terlibat belum dapat dipastikan, namun pihak polis percaya bahawa mereka berumur antara 15 hingga 21 tahun.

“Kami masih berusaha untuk mengenal pasti dan menentukan apa sebenarnya yang telah terjadi di antara mereka,” jelas pihak polis yang bertugas.

Dalam pada itu, pihaknya turut menambah terdapat kemungkinan bahawa penembak terdiri daripada dua orang kerana pertikaian itu melibatkan antara dua kumpulan.

Terdahulu, seorang wanita berusia 27 tahun telah ditembak pada bulan Januari di Stesen Atlantik selepas melintasi dua kumpulan yang sedang bertengkar.

Sumber: CNN

Farah Nabilah