Siakap Keli
air terjun seakan terbang
Gambar: Tangkap layar video tular

Air Terjun Seakan ‘Terbang’ Pukau Warganet

Keindahan alam itu sangat menenangkan jiwa. Tatkala makhluk yang dipanggil manusia melemparkan kekecewaan, hati pasti dahagakan suasana sepi, nyaman yang boleh mengubati luka-luka yang tidak berdarah.

Dalam mencari kedamaian di suasana ribut, alam dilihat tidak mematahkan semangat dengan menonjolkan kecantikan dalam apa jua keadaan sekalipun.

Lebih-lebih lagi apabila tiba di musim tengkujuh, di mana pada musim itu ia menghidupkan semula flora dan fauna. Titisan hujan yang mencurah-curah juga memenuhi hati masyarakat dengan kegembiraan dan mencipta beberapa pemandangan terindah di dunia.

Tular di media sosial, video pemandangan di sebuah gunung di India, Naneghat Maharashtra yang tersergam indah apabila musim tengkujuh itu tiba.

Menerusi video itu, ia menunjukkan air dari jatuhan antara dua gunung naik ke atas dan tidak jatuh ke bawah seperti biasa disebabkan oleh angin yang mengiringi hujan di Naneghat, sekali gus mencipta pemandangan indah.

Video tersebut telah dikongsi oleh Pegawai Hutan India (IFS) Susanta Nanda di Twitter, menunjukkan keindahan alam itu semasa musim tengkujuh tiba di kawasan berkenaan.

“Apabila magnitud kelajuan angin adalah sama dan bertentangan dengan gaya graviti, air tersebut berada pada tahap terbaik semasa peringkat itu di Nangehat Banjaran Ghats Barat. Keindahan Monsun,” katanya menerusi kapsyen.

Dalam video tular itu, gunung-ganang dilihat berada dalam keadaan hijau yang sihat berserta dengan awan yang terapung yang menambahkan lagi suasana serta keindahan alam di situ.

Video itu telah menerima lebih 393,000 tontonan dan mendapat tanda suka kira-kira 18,600 setakat artikel ini ditulis. Pemandangan yang dikongsi membuatkan penonton berasa kagum dan terpesona dengan keindahan alam di sana.

“Saya telah melawat tempat ini. Bagai syurga di bumi,” ujar seorang pemberi komen.

Naneghat ialah laluan gunung di banjaran Ghats Barat antara pantai Konkan dan bandar Junnar di dataran tinggi Decan.

Sumber: NDTV

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana