PLUS Tutup Sementara Laluan Hala Ke Selatan Antara Ipoh Utara-Ipoh Selatan Esok
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya akan menutup sementara laluan Ipoh Utara dan Ipoh Selatan (Arah Selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan pada 30 November (esok) pada jam 10 pagi hingga 2.30 petang.
Pengguna lebuhraya itu dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka susulan penutupan laluan itu bagi memberi laluan kepada latihan simulasi kecemasan.
Sehubungan itu, pengguna dari utara Kuala Kangsar menghala ke selatan Kuala Lumpur akan dilencongkan ke Plaza Tol Ipoh Utara seterusnya dinasihatkan untuk menggunakan Jalan Persekutuan (FT240) iaitu susur Jelapang-Ampang sepanjang latihan itu berlangsung.
“Pengguna boleh meneruskan perjalanan ke Selatan dengan memasuki semula Lebuhraya Utara-Selatan menerusi Plaza Tol Ipoh Selatan.
“Latihan tersebut diadakan bagi menguji tahap kecekapan, masa tindak balas dan tindakan yang diambil oleh PLUS, pasukan penyelamat serta agensi yang terlibat dalam menghadapi situasi kecemasan, mengkaji dan memeriksa aliran proses prosedur keselamatan di lebuhraya,” maklum kenyataan itu.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan pengguna lebuh raya.
“Latihan kecemasan kali ini melibatkan agensi-agensi yang terbabit antaranya Lembaga Lebuhraya Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Alam Sekitar, Angkatan Pertahanan Awam, MERS 999, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, MROS, Edgenta Infrastructure Services (EIS) dan sebagainya,” katanya.
Oleh hal demikian, pengguna lebuhraya dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh petugas PLUS ketika latihan diadakan.
“Pengguna lebuhraya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat lanjut trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan,” jelasnya lagi.
▪️ Latihan Kecemasan: PLUS tutup sementara laluan hala ke Selatan antara Ipoh Utara dan Ipoh Selatan pada 30 November
▪️ Full lane closure between Ipoh North KM267.3 to Ipoh South KM280.6 south bound for highway emergency simulation exercise pic.twitter.com/WP6j6UULV3
— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) November 29, 2022
Sumber: Bernama TV