Ahli Kumpulan Fleetwood Mac, Christine McVie Dilapor Meninggal Dunia
Seorang penyanyi dan juga penulis lagu kumpulan muzik terkenal pada era 70-an Fleetwood Mac, Christine McVie meninggal dunia pada usia 79 tahun hari ini.
Christine telah menghembuskan nafas terakhirnya di hospital pada Rabu, sejurus sahaja dimasukkan ke dalam wad, kata keluarganya dalam sebuah kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook penyanyi tersebut.
“Kami mahu anda semua sentiasa mengingati Christine sebagai seorang insan yang luar biasa dan pemuzik yang disegani serta disayangi,” tulis keluarga mendiang dalam kenyataan tersebut.
Dalam pada masa yang sama, Fleetwood Mac pula mengatakan “tiada perkataan” yang mampu mengungkapkan rasa kesedihan ahli kumpulan muzik tersebut atas pemergian McVie dalam sebuah kenyataan yang berasingan.
Manakala, ahli Fleetwood Mac lain, termasuk Stevie Nicks dan Mick Fleetwood turut menyiarkan kenyataan tersebut menerusi laman media sosial mereka.
“Mendiang merupakan seorang pemuzik terhebat dalam kumpulan kami dan seorang kawan yang sangat baik dalam kehidupan kami.
“Secara individu dan berkumpulan, kami sangat menghargai Christine dan berterima kasih atas segala bait-bait kenangan indah yang dilalui bersama-sama,” tulis kenyataan kumpulan muzik tersebut.
Christine McVie telah dilahirkan di barat laut England pada 12 Julai 1943 dengan nama Christine Perfect. Semasa menuntut di sekolah seni, Christine telah memulakan kegiatan seninya dengan menggubah lagu.
Sebelum menyertai Fleetwood Mac pada tahun 1970, Christine bersama sebuah kugiran yang bernama, Chicken Shack
Selain itu, Christine turut pernah berkahwin dengan salah seorang ahli kumpulan Fleetwood Mac iaitu pemain bass John McVie.
Mendiang sangat dikenali kerana gubahan lagu dan vokal yang menaikkan Fleetwood Mac untuk tersenarai dalam kumpulan rock yang terlaris sepanjang zaman.
Bukan itu sahaja, dua daripada lagu nukilan Christine iaitu, “Over My Head” dan “Say You Love Me” berjaya menjulang nama kumpulan tersebut apabila lagu-lagu tersebut kerap diputarkan di stesen radio Amerika Syarikat.
Walau bagaimanapun, Christine telah meninggalkan Fleetwood Mac pada tahun 1998 dan mengeluarkan album solo pada tahun 2004. Namun, album tersebut kurang mendapat sambutan.
Sungguhpun begitu, Christine telah menyertai semula kumpulan tersebut pada 2014.
Sumber: Astro Awani