Siakap Keli
anwar ke istana negara
Gambar: Tangkap layar video

Anwar Ke Istana Negara 8 Pagi Esok, Persembah Barisan Kabinet?

Anwar Ke Istana Negara 8 Pagi Esok

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan dirinya akan berangkat ke Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 8 pagi esok.

Dalam masa sama, keberangkatannya ke Istana Negara esok dipercayai ‘memanaskan’ lagi desas-desus mengenai barisan Kabinet kerajaan baharu yang diterajuinya selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri 24 November lepas.

Dalam satu kenyataan, Anwar berkata perbincangan mengenai pelantikan barisan Kabinet kini hampir selesai dilakukan dan beliau berharap ia dapat diumumkan dalam masa terdekat.

“Kita terpaksa bergegas menyelesaikan masalah dengan semua komponen parti kerana kita harus segerakan untuk membentuk barisan jemaah menteri yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan dapat kita umumkan kalau boleh dalam masa dua ini, In shaa Allah.

“Setakat ini hampir seluruhnya sudah hampir selesai dan saya akan perkemas kini. Saya ambil kesempatan untuk menyatakan, tidak ada kemenangan kalau tidak ada asas yang dipupuk oleh pihak reformis daripada awal,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam Majlis Ramah Mesra Reformis yang berlangsung seperti yang disiarkan di laman Facebook rasminya malam ini.

Menyentuh mengenai kejayaannya, Anwar berkata dalam mengejar kemenangan semestinya ada yang tewas dalam perjalanan, namun sekiranya yakin titik peluh itu pada akhirnya akan juga membuahkan hasil.

Anwar turut mengingatkan bahawa kemenangan sebenar adalah dengan mendapat keredhaan yang Maha Berkuasa dengan menegakkan keadilan.

Dalam ucapan itu lagi, Anwar turut berkata beliau juga pulang ke parlimennya, Tambun pada hari yang sama (esok) selepas berjaya memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU), 19 November lalu.

Anwar seterusnya dijadualkan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta pada 10 pagi dalam sesi yang turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Difahamkan, beliau akan mendirikan solat Jumaat di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati sebelum menyertai kenduri rakyat bagi menzahirkan ucapan terima kasih atas mempercayai dirinya untuk menggalas mandat yang diberi.

Sumber: Anwar Ibrahim/Facebook

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana