Siakap Keli
Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia Meningkat
Gambar: Bernama

Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia Meningkat 1.3 Peratus Tahun Lepas

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) — Prestasi Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) bagi 2021 meningkat 1.3 peratus kepada 119.2 mata berbanding 117.7 mata pada 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

IKRM yang terdiri daripada dua subkomposit kesejahteraan iaitu ekonomi dan sosial, dibangunkan untuk mengukur tahap kesejahteraan rakyat Malaysia. Indeks berkenaan mempunyai 14 komponen dengan 25 petunjuk ekonomi dan 41 petunjuk sosial.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor ekonomi dan aktiviti sosial yang dibuka secara berperingkat, menyumbang kepada pemulihan kesejahteraan rakyat Malaysia pada tahun lepas.

Beliau berkata kejayaan Pelan Pemulihan Negara selain Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi membendung penularan COVID-19, memberi kesan positif kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Prestasi keseluruhan IKRM pada 2021 menunjukkan kesejahteraan rakyat Malaysia semakin pulih walaupun berhadapan cabaran pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini susulan laporan IKRM 2021 berkenaan.

Mohd Uzir berkata kedua-dua subkomposit menunjukkan peningkatan pada 2021, dengan subkomposit ekonomi meningkat 1.0 peratus kepada 127.2 mata manakala kesejahteraan sosial meningkat 1.4 peratus kepada 114.7 mata.

Menurutnya kesejahteraan ekonomi terdiri daripada lima komponen iaitu pengangkutan, komunikasi, pendidikan, pendapatan dan pengagihan serta persekitaran kerja, manakala sembilan komponen kesejahteraan sosial adalah perumahan, hiburan dan rekreasi, keselamatan awam, penyertaan sosial, tadbir urus, kebudayaan, kesihatan, alam sekitar dan keluarga.

Katanya 10 daripada 14 komponen IKRM, merekodkan peningkatan pada 2021, antaranya indeks tadbir urus (6.8 peratus), indeks kebudayaan (6.4 peratus), indeks keselamatan awam (3.4 peratus), indeks alam sekitar (2.7 peratus) dan indeks pendapatan dan pengagihan (2.4 peratus).

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?