Siakap Keli
anwar gesa rakyat bekerjasama
Gambar: FB Anwar Ibrahim

Berada Di Fasa Baharu, Kita Harus Bekerja Bersama Dalam Satu Pasukan – Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk bekerjasama sebagai satu pasukan dengan tekad supaya keadilan dapat diberikan kepada semua pihak.

Sejajar dengan semangat reformasinya yang acap kali bergema setiap kali muncul di khalayak, Anwar memaksudkan kejituan sebegitu penting dalam proses membangunkan negara di kala beliau kini sudah pun bergelar Perdana Menteri Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Mesra Reformis yang berlangsung seperti yang disiarkan di laman Facebook rasminya malam ini.

Kredit: FB Anwar Ibrahim
Kredit: FB Anwar Ibrahim

“Malam ini saya bersama dengan para pendukung yang setia yang menjadi antara penggerak awal gerakan reformasi. Meski ramai yang telah tiada, namun kejayaan kita hari ini ternyata terpacul dari gelombang kesedaran rakyat yang digerakkan pejuang massa.

“Saya turut memahami tatkala munculnya watak-watak yang sentiasa mencari peluang untuk memenuhi tembolok sendiri dan sanggup mengkhianati perjuangan kerana perjuangan yang panjang sentiasa melelahkan,” katanya dalam majlis itu.

Ujarnya, perjuangan harus diteruskan dengan berganding bahu dan turut menggesa rakyat untuk sentiasa menyebarkan mesej pencerahan mengenai negara demi masa depan.

“Namun, kita kini telah berada di fasa baharu di mana kita harus bekerja bersama dalam satu pasukan dengan satu tekad mengenai bagaimana semangat islah itu mampu diterjemahkan dalam bentuk kebijakan yang menggarap hak untuk semua.

“Saya menggesa teman-teman untuk terus menjadi jurubicara rakyat dan sebarkan mesej-mesej pencerahan demi rakyat terbanyak!” katanya menerusi perkongsian di Facebook malam ini.

Dalam pada itu, Anwar difahamkan akan berangkat ke Istana Negara seawal 8 pagi esok bagi menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketika ini senarai barisan Kabinet kerajaan baharu di bawah pimpinannya terus menjadi persoalan ramai.

Apatah lagi keberangkatannya ke Istana Negara pada esok pagi sekali gus dipercayai mungkin akan merungkai segala persoalan rakyat.

Sumber: Anwar Ibrahim/Facebook

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana