Siakap Keli

“Amanah Ini Bukanlah Harta Rampasan Perang, Namun…”, Zahid Hamidi Luah Rasa Syukur Dilantik Jadi TPM

Zahid Hamidi Zahirkan Rasa Syukur Atas Pengumuman Kabinet Kerajaan Perpaduan oleh PM Malam Tadi

Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi dengan perasaan rendah hati meluahkan rasa syukur  ke hadrat Allah S.W.T diatas pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Dalam sebuah hantarannya di Facebook, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan rakan-rakan di dalam Barisan Nasional yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk memegang jawatan tersebut.

“Amanah ini bukanlah ghanimah (harta rampasan perang), namun satu taklif iaitu tanggungjawab yang sangat berat dalam suasana ekonomi dunia diramal amat mencabar tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut yakin bahawa pembentukan Kerajaan Perpaduan ini mampu mengatasi cabaran-cabaran yang perlu dihadapi demi kemakmuran Malaysia dan rakyatnya.

Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Namun tegasnya, kemakmuran ini mampu dikecapi jika semua pihak menghentikan tindakan yang mencetuskan provokasi serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat.

Zahid Hamidi juga meminta agar tiada pihak yang cuba menganggu ketenteraman dan perpaduan masyarakat serta usaha Kerajaan Perpaduan untuk menaikkan prestasi ekonomi negara selepas ini.

Pada akhir hantaran tersebut, beliau meminta rakyat Malaysia untuk sentiasa bersatu hati demi kebaikan negara kita pada masa depan. Beliau juga sempat mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli kabinet yang baru sahaja dilantik malam tadi.

“Kita hentikan ketidakstabilan politik yang telah banyak merosakkan serta merencatkan kemakmuran Malaysia.” kata Zahid Hamidi.

BACA: Ini Senarai Penuh Jemaah Menteri Baharu Bagi Kerajaan Perpaduan

Sumber: Zahid Hamidi via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma