Siakap Keli
Gambar: Pixabay

Jangkitan Bakteria Salah Satu Punca Utama Penyebab Kematian Di Seluruh Dunia – Kajian

PARIS – Satu kajian mendapati bahawa jangkitan bakteria merupakan punca utama yang kedua tertinggi kepada penyebab kematian di seluruh dunia, malah ia turut menyumbang satu daripada lapan kematian secara keseluruhan pada tahun 2019.

Memetik laporan CNA, kajian baharu yang dikeluarkan dalam jurnal Lancet itu menunjukkan bahawa terdapat kematian yang berpunca daripada 33 jangkitan bakteria biasa dan 11 lagi jenis jangkitan yang berlaku di 204 negara dan wilayah.

Patogen-patogen tersebut telah dikaitkan dengan 7.7 juta kematian yang telah menyumbang kepada 13.6% daripada jumlah secara global pada tahun 2019, dimana tahun sebelum wabak COVID-19 bermula.

Ini telah menjadikan jangkitan bakteria sebagai punca kematian utama yang kedua termasuklah penyakit serangan jantung.

Jenis-jenis bakteria seperti Staphylococcus aureus, Escherichia coli, Streptococcus pneumoniae, Klebsiella pneumoniae dan Pseudomonas aeruginosa merupakan antara lima bakteria yang bertanggungjawab atas separuh daripada kematian yang berlaku.

Staphylococcus aureus merupakan bakteria yang boleh ditemui dalam kulit dan lubang hidung manusia yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit, manakala E coli pula biasanya menjadi punca kepada keracunan makanan.

Kajian itu dijalankan di bawah rangka kerja Global Burden of Disease, sebuah program penyelidikan besar-besaran yang dibiayai oleh Yayasan Bill dan Melinda Gates yang melibatkan beribu-ribu penyelidik di seluruh dunia.

“Data baharu ini buat kali pertamanya mendedahkan tahap cabaran kesihatan awam global yang berpunca daripada jangkitan bakteria.

“Penting untuk kita letakkan keputusan ini dalam radar inisiatif kesihatan global supaya penyiasatan yang lebih mendalam dapat dijalankan serta dapat membuat pelaburan yang diperlukan bagi mengurangkan jumlah kematian,” kata penyelidik kajian, Christopher Murray yang merupakan seorang pengarah Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan di AS.

Sementara itu, penyelidikan yang dijalankan juga telah menunjukkan perbezaan ketara antara wilayah miskin dan juga kaya.

Di Sub-Sahara Afrika, terdapat 230 kematian dicatatkan bagi setiap 100,000 penduduk akibat daripada jangkitan bakteria.

Manakala, dalam wilayah yang dianggap berpendapatan tinggi seperti negara-negara di Eropah Barat, Amerika Utara dan Australasia, angka itu telah menurun kepada 52 daripada setiap 100,000.

Di samping itu, para penyelidik turut meminta lebih banyak pelaburan dikeluarkan, terutamanya untuk vaksinasi baru supaya dapat mengurangkan jumlah kematian.

Bukan itu sahaja, pihaknya turut memberi amaran terhadap penggunaan antibiotik yang dianggap kurang wajar.

Justeru, mencuci tangan dengan betul adalah antara langkah yang dinasihatkan bagi mencegah jangkitan bakteria.

Sumber: CNA 

Farah Nabilah