Siakap Keli
Kucing Hitam Bawa Balik Kepala Buaya
Kredit: FOX6 | Wendy

Kucing Hitam Bawa Balik Kepala Buaya, Hadiah ‘Rare’ Untuk Tuan

Seekor kucing hitam membuat kejutan apabila dia bawa balik satu kepala buaya dipercayai sebagai hadiah kepada tuannya.

Kucing memang terkenal dengan sikap suka membawa ‘hadiah’ sebagai balasan kepada kita kerana telah menjaganya. Justeru, tidak hairanlah jika rumah kita dipenuhi dengan haiwan atau barang yang diheretnya ke rumah.

Baru-baru ini berlaku satu kejadian di Waukesha, Wisconsin di mana seekor kucing hitam milik wanita bernama Wendy Wiesehuegel telah membawa ‘hadiah besar’ ke rumahnya.

Difahamkan, kucing hitam yang bernama Burnt Toast itu telah mengheret kepala buaya ke halaman rumahnya pada Ahad. Malah menurut jiran Wendy, pada mulanya mereka menyangka ‘benda’ tersebut ialah ikan besar.

“Dia sangat bangga dengan dirinya (merujuk kucing). Tidak dijangka,” kata Wendy.

Namun, selepas memeriksa dengan teliti, Wendy terkejut mendapati ‘hadiah’ yang diberikan kepadanya rupa-rupanya adalah kepala buaya.

“Saya menunduk untuk memeriksanya dan berkata, ‘Itu bukan ikan, itu buaya’,” tambah Wendy.

Menurut New York Post, kepala reptilia itu kelihatan masih utuh sepenuhnya, namun apabila diterbalikkan, kepala itu telah kehilangan sebahagiannya daripada tengkoraknya.

Kucing Hitam Bawa Balik Kepala Buaya
Kredit: Wendy

Lantas, Wendy kemudian meminta bantuan daripada pakar pemuliharaan Jabatan Sumber Asli, Tim Aspenson untuk membuat pengesahan sama ada ia tengkorak buaya sebenar atau tidak.

Malah, pakar pemulihan itu berkata dia memerlukan seorang ahli biologi hidupan liar untuk mengesahkan kesahihan haiwan tersebut.

Namun, pada penglihatan kasarnya dia menyatakan bahawa kepala itu yang panjangnya berukuran lebih kurang tiga kaki memang milik sebenar reptilia berkenaan.

Memandangkan buaya Amerika bukan berasal dari Wisconsin, Aspenson mengesyaki bahawa ia merupakan haiwan perliharaan seseorang yang disyaki melarikan diri atau dilepaskan.

Bagaimanapun, punca bagaimana buaya itu boleh mati tidak dapat dikenal pasti oleh pegawai hidupan liar sehingga ia boleh dijadikan ‘hadiah’ kepada Wendy.

Kucing Hitam Bawa Balik Kepala Buaya
Kredit: FOX6

Sebelum ini, Wendy mendakwa dia pernah melihat buaya tersebut semasa berada di tasik bersama abang iparnya.

“Dia hanya mentertawakannya dan berkata, ‘Tidak, ia bukan buaya’,” kata Wendy.

Disebabkan itu, Wendy hanya mengiyakan apa yang dikatakan oleh abang iparnya dan tidak menyangka bahawa Burnt Toast akan membawanya sebagai hadiah ketika itu.

Dalam masa yang sama, Wendy memikirkan situasi yang mengerikan jika ia berada di dalam tasik dan orang ramai ada di sekitarnya.

Menurut Aspenson, dia jarang menemui haiwan pemangsa berdarah sejuk berkenaan ketika iklim sejuk ketika ini, namun baginya ini bukanlah kali terakhir buaya akan muncul.

Kucing Hitam Bawa Balik Kepala Buaya
Kredit: Wendy

Pada Julai sebelum ini, pihak polis Wisconsin terkejut selepas menerima laporan tentang seekor buaya berkeliaran di kawasan kejiranan di Kenosha.

Difahamkan buaya yang diberi nama Chomper itu dipercayai merupakan haiwan peliharaan seseorang.

Malah selepas itu, kejadian kedua yang seumpama berlaku di Wisconsin pada bulan yang sama iaitu buaya berukuran 24 inci melarikan diri dan ditemui berenang di tasik Fond du Lac.

Sumber: New York Post

 

Florence Nuar