Siakap Keli
Kredit: BNPB Indonesia

Letusan Gunung Semeru Di Jawa Timur: Jepun Sedia Amaran Ancaman Tsunami

Badan Meteorologi Jepun terus memantau ancaman gelombang tsunami yang semakin meningkat di kawasan pesisir negara itu selepas Gunung Semeru di Jawa Timur kembali meletus pada Ahad, semalam, lapor CNN Indonesia.

Jurucakap Japan Broadcasting Corporation (NHK) melaporkan bahawa gelombang tsunami itu boleh sampai ke pantai wilayah Okinawa sejurus 5:30 GMT atau sekitar 12:30 Waktu Indonesia Barat (WIB), hari ini.

Bagaimanapun, tiada perkembangan lanjut daripada agensi itu berkenaan risiko tsunami malah belum ada amaran awal untuk penduduk di persisir pantai berhubung dengan ancaman.

Difahamkan, Okinawa merupakan sebuah wilayah di bahagian paling selatan di Jepun dan ia terdiri daripada ratusan pulau yang dipanggil Kepulauan Ryukyu serta membentuk rantaian pulau yang panjangnya lebih 1,000 kilometer (km).

Sementara itu, wilayah Okinawa juga merupakan tempat pangkalan tentera Amerika Syarikat di Lautan Pasifik.

Jepun Keluarkan Ancaman Tsunami
Kredit: BBC

Terdahulu, media Indonesia melaporkan Gunung Semeru di Lumajang, Jawa Timur sekali lagi memuntahkan Awan Titisan Panas (APG) sekitar pagi Ahad semalam.

Hal tersebut menyebabkan penduduk di sekitar gunung itu bergegas untuk berpindah.

Menurut seorang penduduk tempatan, Ahamd Samiludin berkata, asap Gunung Semeru kelihatan tebal dari tempatnya iaitu di Kampung Sumberwuluh, Daerah Candipuro Lumajang.

“Ia sangat tebal. Aliran lahar deras. Tolong doakan. Ramai juga yang telah turun (berpindah),” kata Ahamd.

Menurut CNN, asap tebal berwarna kelabu di tenggara dan selatan berada kira-kira 1,500 meter di atas puncak.

Sementara itu, letusan Gunung Semeru juga telah direkodkan pada seismograf dengan amplitud maksimum 35mm dan tempoh 0 saat.

Bagaimanapun, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) melaporkan, sumber awan panas itu berasal daripada longgokan di hujung lahar iaitu kira-kira 800 meter dari puncak Kawah Jonggring Seloko.

Malah, berdasarkan pemantauan CCTV Semeru, fenomena APG berterusan sehingga pagi tadi pada pukul 7:42 WIB dengan jarak antara 5 hingga 7 km.

Sumber: CNN Indonesia

Florence Nuar