“Bagilah Saya Peluang,” Enggan Putus Asa, Rani Kulup Nekad Cuba Nasib Bertanding DUN
Aktivis masyarakat, Abdul Rani Kulup Abdullah atau lebih dikenali sebagai Rani Kulup mengumumkan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), lapor Sinar Harian.
Terdahulu dalam PRU15 beliau juga bertanding atas tiket calon Bebas di kerusi Parlimen Port Dickson dan tewas dalam percubaan pertama tersebut. Bagaimanapun, bagi bertanding kerusi DUN beliau tidak mendedahkan kerusi mana yang akan ditandinginya.
“Walaupun ‘ayah’ hilang wang deposit pada PRU15 lalu, tapi ia tidak akan mematahkan semangat ‘ayah’ untuk mencuba nasib bertanding di DUN pula.
“‘Ayah’ dah pun buat keputusan untuk bertanding di kawasan DUN mana. Tapi tunggu masanya nanti untuk ‘ayah’ buat pengumuman. Buat masa ini biarlah ia rahsia, ” kata beliau yang lebih mesra dipanggil ayah kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, PRU15 lalu merupakan titik permulaan untuk beliau melibatkan diri dalam arena politik sekali gus dapat memberinya peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual
Kata beliau lagi, sebanyak 441 undi yang diperolehinya melalui pertembungan lima penjuru pada PRU15 yang lalu telah membuktikan bahawa dirinya telah diterima masyarakat.
“Oklah, ada masyarakat Port Dickson yang mengundi saya. Bagilah saya peluang pula apa salahnya,” katanya lagi.
Pada PRU15 yang lalu, kerusi Parlimen Port Dickson berjaya dipertahankan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin dari Pakatan Harapan dengan memperolehi majoriti undi sebanyak 23,601. Beliau berjaya menewaskan pencabarnya Datuk P Kamalanthan (BN), Rafiei Mustapha, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri (Pejuang) dan Abdul Rani Kulup (Bebas).
Baca: Paling Murah RM2.08 Juta, Ini Fakta Kereta “Handmade” Mewah Rolls Royce Yang Tular
Dalam laporan lain pada sebelum ini, kerajaan Selangor bersama-sama dengan Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan akan mengadakan perbincangan bagi mencadangkan tarikh PRN agar dapat dijalankan serentak pada tahun hadapan.
Sumber: Sinar Harian