Siakap Keli
Gambar: Bernama

Perhilitan Digesa Pindahkan Gajah Di Pos Betau, Lipis, Demi Keselamatan Orang Asli

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) — Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) digesa mengambil tindakan segera memindahkan gajah-gajah liar di kawasan Pos Betau, Kuala Lipis, Pahang susulan kejadian seorang wanita Orang Asli maut dipijak haiwan itu awal pagi tadi.

Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Mohd Nor berkata pihaknya telah berhubung dengan Perhilitan Pahang bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil secepat mungkin demi kepentingan dan keselamatan Orang Asli di situ.

Ramli berkata pencerobohan gajah liar ke Kampung Orang Asli yang turut mengancam ekonomi penduduk di situ semakin kerap berlaku sejak tahun lepas dan setakat ini 10 laporan berkenaan isu itu telah dikemukakan kepada Perhilitan.

“Kenapa tidak diambil tindakan seperti yang berlaku di kawasan Orang Asli di Perak, isu sama juga berlaku, pihak Perhilitan telah memindahkan ke Pusat Pemeliharaan Gajah, kenapa Perhilitan Pahang tidak boleh ambil tindakan sebelum ini? Kenapa perlu tunggu sampai timbul krisis pertembungan manusia dan haiwan yang menyebabkan kematian?,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata Tok Batin dan Penghulu Orang Asli di Pos Betau telah mengadakan perjumpaan dan mengambil  keputusan akan bertindak terhadap kumpulan gajah liar itu jika ia berulang, demi kepentingan dan keselamatan penduduk kampung.

“Saya melihat bila pertembungan manusia dan haiwan (berlaku) saya percaya mungkin habitat mereka di tempat lain, di tempat biasa mereka telah musnah, jadi mereka mula merayau ke tempat yang ada makanan (kampung Orang Asli),” katanya.

Awal pagi tadi, seorang wanita, 39, berketurunan Orang Asli maut dipercayai dipijak gajah pada 4 pagi tadi, di Kampung Simoi Baru di Pos Betau.

Mayat mangsa, Wak Angkat Yok Tong, ditemukan di kawasan pokok pisang berhampiran rumahnya sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lipis.

Sumber: Bernama

Farah Nabilah