Siakap Keli
Gambar: The Guardian

Syiling Pertama Yang Paparkan Potret Raja Charles III Dilancarkan

Syiling Pertama Yang Paparkan Potret Raja Charles III Dilancarkan

Syiling pertama yang menampilkan potret Raja Charles III bakal dikeluarkan pada syiling bernilai 50 pence di pejabat pos di seluruh UK mulai Khamis 8 Disember, lapor The Guardian.

Direka oleh Pengukir British, Martin Jennings, syiling terbaru yang diluluskan secara peribadi oleh Charles itu mempunyai kelainan apabila potret raja menghadap ke arah kiri, bertentangan dengan syiling potret mendiang Ratu Elizabeth.

Bahagian belakang 50 pence menampilkan reka bentuk yang pada asalnya muncul pada Pertabalan Mahkota 1953 selain untuk memperingati pertabalan Ratu di Westminster Abbey.

Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual

Ia termasuk empat perisai senjata diraja, setiap perisai itu mempunyai lambang negara, bunga mawar, duri, shamrock dan leek.

Gambar: Royal Mint

Bagaimanapun, kesemua syiling yang mempunyai potret Ratu Elizabeth II akan kekal sah dan masih dikeluarkan.

Laman web Royal Mint mendapat rekod pelawat yang tinggi selepas 24 jam rekaan koleksi syiling Her Majesty Queen Elizabeth II itu dikeluarkan pada bulan Oktober.

Memetik The Guardian, sebanyak 4.9 juta syiling 50 pence akan dikeluarkan di 9,452 cawangan pejabat pos sepanjang bulan Disember ini.

Baca: Paling Murah RM2.08 Juta, Ini Fakta Kereta “Handmade” Mewah Rolls Royce Yang Tular

Pengarah Perkhidmatan Koleksi di Royal Mint, Rebecca Morgan berkata bahawa hari ini telah menandakan era baharu untuk duit syiling UK, dengan patung Raja Charles III muncul pada syiling 50 pence.

“Ia adalah peluang yang hebat untuk pengumpul syiling menambah koleksi mereka, atau memulakannya buat kali pertama,” kata Rebecca.

Rebecca menjangkakan bahawa generasi baharu pengumpul syiling akan muncul, untuk melihat syiling terbaharu yang memaparkan potret raja baharu itu.

“Royal Mint telah diberi kepercayaan untuk membuat syiling selama lebih 1,100 tahun dan kami berbangga untuk meneruskan tradisi ini sehingga pemerintahan Raja Charles III,” kata Rebecca lagi.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pejabat Pos, Nick Read berkata bahawa ia adalah satu penghormatan yang besar untuk pejabat pos bahawa duit syiling pertama yang menampilkan Raja Charles III dikeluarkan melalui cawangan pejabat pos.

“Disember ialah masa yang paling sibuk untuk kami sepanjang tahun, jadi syiling tersebut akan memasuki rangkaian kami secara berperingkat,” kata Nick.

“Jika anda tidak mendapatkan syiling 50 pence baharu pada kunjungan anda ke pejabat pos pada hari pertama, anda mungkin akan dapat syiling yang berbeza ketika kunjungan berikutnya, jadi jangan lepaskan peluang,” jelas Nick.

Sumber: The Guardian

Noorliyana Ishak