Siakap Keli
Kredit Sinar Harian

Padah Baling Air Kencing Ke Rumah Jiran, Lelaki Didenda RM3,100

Padah Baling Air Kencing Ke Rumah Jiran, Lelaki Didenda RM3,100

Mahkamah Majistret Melaka hari ini menjatuhkan hukuman denda RM 3,100 ke atas seorang lelaki yang mengaku bersalah membaling bungkusan mengandungi air kencing dan bekas minyak hitam ke rumah jirannya, lapor Sinar Harian

Majistret Sharda Shienha Mohd membuat keputusan tersebut selepas tertuduh yang berusia 41 tahun itu mengakui perbuatannya apabila dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu telah berkelakuan menghina dengan cara melemparkan bungkusan cecair yang dipercayai mengandungi air kencing ke arah rumah jirannya. Perbuatannya itu dilaporkan bertujuan untuk membangkitkan kemarahan dan menggangu keamanan jirannya.

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh kira-kira jam 9 pagi pada 18 Oktober lalu di No 922-1, KM Bukit Baru.

Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual

Pendakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100 jika disabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga didapati melakukan perbuatan khianat terhadap rumah yang sama dengan membaling satu bekas berisi minyak hitam dengan niat untuk menyebabkan kerosakan dengan nilai RM150 iaitu melebihi RM 25. Perbuatan kedua itu dibuat tertuduh pada jam 11.40 pagi pada 7 Disember lalu.

Pendakwaan bagi perbuatan kedua itu dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan yang dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon agar hukuman setimpal dibuat ke atas tertuduh berikutan perbuatan yang dilakukan kepada jirannya sendiri.

Tertuduh yang merupakan penganggur dan tidak diwakili oleh peguam telah merayu agar hukuman setimpal dikenakan kepadanya. Ianya kerana tetuduh memberi alasan bahawa sewaktu melakukan perbuatan tersebut dia berada dalam keadaan tidak sedar.

Bagi kesalahan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, mahkamah menetapkan tertuduh didenda sebanyak RM 100 atau lima hari penjara jika gagal membayarnya.

Bagi kesalahan Seksyen 427 Kanun Keseksaan pula, mahkamah mengarahkan tertuduh untuk membayar denda sebanyak RM 3,000 atau penjara dua bulan jika dia gagal membayar denda tersebut.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka