Siakap Keli
Gambar: Bernama

Inisiatif Keluarga Malaysia Diteruskan, Ismail Sabri Ucap Terima Kasih Kepada PM

Inisiatif Keluarga Malaysia Diteruskan, Ismail Sabri Ucap Terima Kasih Kepada PM

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila kerajaan telah meneruskan inisiatif Kerajaan Keluarga Malaysia dalam Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) yang telah diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

Menerusi kenyataan media yang dikongsi di Twitter, inisiatif-inisiatif yang diluluskan itu merupakan sebahagian daripada aspirasi Bajet Keluarga Malaysia yang telah dibentangkan pada 7 Oktober 2022 yang lalu.

Menurutnya, inisiatif itu memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi negara.

“Ia turut mengambil kira semua aspek khususnya untuk membela golongan B40 dan sebagai persediaan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi yang diramalkan berlaku pada tahun hadapan.

“Antara inisiatif-inisiatif Bajet 2023 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri hari ini ialah Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Keluarga Malaysia, Bantuan Musim Tengkujuh, Kenaikan Gaji Tahunan Tambahan Khas 2023 dan Bantuan Khas Kewangan untuk kakitangan awam serta menyediakan 50,000 peluang pekerjaan,” jelasnya menerusi kenyataan media itu.

Malah, beliau turut menambah bahawa Kerajaan terdahulu telah berusaha sedaya upaya untuk memastikan kos sara hidup rakyat tidak melambung tinggi.

Keputusan Kerajaan Keluarga Malaysia pada Jun lalu untuk tidak menaikkan taraf elektrik di Semenanjung dengan menanggung kos sebanyak RM5.8 bilion serta memberikan subsidi sebanyak RM1.2 bilion kepada penternak untuk tidak menaikkan harga ayam dan telur merupakan antara usaha yang dilakukan bagi meringankan beban rakyat.

Sehubungan itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menzahirkan sekali lagi ucapan terima kasih dan berharap bahawa nasib rakyat akan terus terbela.

Sumber: Ismail Sabri via Twitter

Farah Nabilah