Siakap Keli

“Gaji RM4,000 Tapi Banyak Tanggungan, Bercatu Tiap Bulan, Adakah Saya Perlu Bayar Zakat?” Ini Cara Mudah Nak Tentukan

Hidup zaman moden masa kini memang banyak cabaran. Salah satu cabaran yang paling ramai hadapi sudah semestinya harga barang yang makin melambung tinggi. Sebenarnya, tak mudah hidup pada zaman serba mahal ini, apatah lagi bagi mereka yang tinggal di bandar. Tak disangkal lagi, kos sara hidup di bandar memang tinggi.

Walaupun pada zahirnya pendapatan lebih tinggi daripada di luar bandar, namun pada hakikatnya susah ya nak survive di bandar ni. Untuk survive, ramai terpaksa buat pelbagai kerja untuk hidup selesa. Dengan gaji RM4,000 mungkin amat selesa bagi si bujang. Tapi bagi seorang ketua keluarga, dia perlu berfikir lebih lagi. Hal ini kerana, dia perlu menanggung lebih banyak komitmen untuk menyara anak isteri. 

Mesti ramai yang dah alami situasi macam ni kan. Tak ramai yang tahu cara nak urus.

“Gaji saya RM4,000, tinggal di bandar dan sedang menanggung tiga anak, seorang isteri. Mempunyai komitmen tetap setiap bulan untuk membayar rumah, kereta, pinjaman pendidikan serta makan minum keluarga. Kebanyakan masa terpaksa bercatu setiap hujung bulan. Wajibkah saya bayar zakat pendapatan?”

Zakat diwajibkan bukan atas dasar rukun sahaja tapi disebalik kewajipan itu telah diamanatkan oleh Allah S.W.T ke atas setiap Muslim mengikut syarat tertentu untuk kita bersama-sama membantu orang sekeliling dan bagaimana perkongsian 2.5% itu menjadi punca penambahbaikan ekosistem ekonomi Islam.

Melalui 2.5% anda itulah mereka boleh meneruskan hidup dan mencari ikhtiar baru untuk menjadi lebih baik. Saya pasti kalau anda tahu berapa jumlah yang perlu dikongsikan demi kebajikan bersama, anda tidak akan berfikir dua kali untuk keluarkan zakat tersebut. Tetapi anda ada masalah untuk mengira zakat harta tersebut?

Jangan risau, ada je cara yang mudah dan senang faham untuk cara pengiraan zakat pendapatan ni. Ada 2 pilihan cara pengiraan zakat pendapatan. Cara seperti di bawah:

  • Korang kena tahu berapa banyak 2.5% atas jumlah pendapatan kasar yang diperoleh dalam setahun (jika pendapatan tersebut melebihi nisab).
  • Membayar zakat setelah menolak perbelanjaan asas yang dibenarkan (berdasarkan kaedah penolakan Had Kifayah dan penolakan yang dibenarkan). Untuk yang tak tahu, ini adalah cara kiraan yang lebih tepat untuk dilakukan.

Kalau korang masih lagi keliru tentang cara pengiraan dan rasa macam stress sangat kalau nak kira sendiri, ada satu lagi cara mudah yang korang boleh guna. Untuk korang yang nak pengiraan tepat, korang boleh je dengan mudah guna kalkulator zakat LZS.

Jika korang layak, kalkulator akan terus nyatakan jumlah yang perlu dibayar. Sebaliknya jika korang masih lagi tidak layak, akan terus dinyatakan tidak layak kerana tidak cukup nisab semasa. Mudah bukan. Bukan dapat tahu jumlah je, layak dan tak layak pun tahu.

Mengikut statistik, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menjangkakan jumlah asnaf akan meningkat kepada sekitar 72,000 sehingga hujung tahun 2022. Jadi bagi korang yang cukup syarat wajib zakat, tunaikanlah zakat segera dan Kongsi Rezeki dengan asnaf. Mungkin harta itu sedikit bagi anda, tapi segalanya buat mereka.

Kempen Kongsi Rezeki dengan 2.5% yang dijalankan oleh LZS ni akan berlangsung selama 2 bulan. Program ni secara menyeluruhnya akan menerangkan tentang 10 jenis Zakat Harta yang mungkin masih ramai rakyat Selangor masih terlepas pandang.

  • Zakat Pendapatan
  • Zakat Perniagaan
  • Zakat Wang Simpanan
  • Zakat Emas Dan Perak
  • Zakat Pelaburan Dan Saham
  • Zakat KWSP
  • Zakat Tanaman Padi
  • Zakat Penternakan
  • Zakat Takaful
  • Zakat Harta Galian Dan Harta Karun

Selain daripada laman sesawang LZS, sekarang nak bayar zakat sangat mudah ya. Hanya di hujung jari je, lagi-lagi dengan menggunakan aplikasi Zakat Selangor. Dengan aplikasi ini, korang boleh mengira kadar zakat secara spesifik dan menyemak rekod zakat yang dibayar. Banyak lagi fungsi terkini yang korang boleh guna dalam tu.

Bukan tu je, kempen Kongsi Rezeki dengan 2.5% oleh LZS ni memberikan korang ganjaran dunia akhirat. Untuk dunia, korang berpeluang untuk memenangi hadiah menarik untuk pembayar sehingga 31 Disember 2022. Untuk ganjaran akhirat pula, korang akan semestinya mendapat keberkatan harta dan juga dapat pahala berganda. Allah menjanjikan bahawa orang yang mengikhlaskan perkongsiannya melalui sedekah atau zakat, hartanya akan menjadi subur dan akan dilipat gandakan.

Mungkin ramai yang tak tahu ni, tapi sebenarnya pengiraan zakat selepas penolakan adalah perlu berdasarkan keperluan asasi yang telah ditentukan dalam had kifayah. Korang bukan boleh sewenang-wenangnya menentukan kadar mengikut selera sendiri.

Oleh itu, sangat penting untuk korang mengatur kewangan korang supaya boleh bayar zakat dengan tenang. Hal ini kerana, ia wajib dan merupakan sebahagian rukun Islam. Untuk maklumat lebih lanjut tentang bayaran zakat, korang boleh klik je https://jom.zakatselangor.com.my .

Nor Fakhry