Siakap Keli
tular tikus makan ayam goreng
Gambar: KKM, Twitter

Tular Tikus Makan Ayam Goreng, Restoran Diarah Tutup 14 Hari

Tular Tikus Makan Ayam Goreng, Restoran Diarah Tutup 14 Hari

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa sebuah kedai makan telah diarahkan tutup selama 14 hari dan dikenakan kompaun selepas tular video yang merakamkan seekor tikus sedang menjamah ayam goreng di premis tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM) telah menjalankan siasatan berhubung video yang tular itu dan mengenalpasti lokasi premis yang terlibat berada di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

“Pasukan penguatkuasa kesihatan BKMM dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat telah menjalankan pemeriksaan terhadap premis terlibat pada 24 Disember 2022.

“Hasil pemeriksaan mendapati tahap kebersihan makanan premis tersebut tidak memuaskan.

“Sehubungan itu, tindakan penutupan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan arahan penutupan selama 14 hari telah dikeluarkan,” katanya.

Jelasnya lagi, sebanyak enam notis kompaun telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana gagal dalam beberapa aspek kawalan penyediaan makanan yang bersih dan selamat.

Berikutan isu ini, KKM juga turut menyeru orang ramai terutama pengusaha dan pengendali makanan untuk menjalankan tanggungjawab bersama dalam memastikan aspek keselamatan makanan terjaga bagi mengelakkan keracunan dan wabak penyakit bawaan makanan berlaku.

“Pengguna turut disarankan memilih premis makanan yang mempunyai logo BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat) apabila membeli atau menjamu makan di luar rumah,” ujarnya.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau layari laman web http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia 

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.