Siakap Keli
Kredit The Guardian

10 Orang Dilapor Terkorban Dalam Insiden Kebakaran Di Hotel Kasino

10 Orang Dilapor Terkorban Dalam Insiden Kebakaran Di Hotel Kasino

Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan puluhan lagi cedera dalam kejadian kebakaran yang berlaku di sebuah hotel kasino di Kemboja lewat malam tadi, lapor The Guardian.

Beberapa video yang dikongsi dalam talian menunjukkan api telah merebak dari hotel dan kasino Grand Diamond City di Poipet, sebuah bandar komuter popular di sempadan Thailand.

Rakaman video menunjukkan beberapa orang yang terperangkap dalam kompleks besar itu cuba melompat keluar dari tingkat ketika pasukan penyelamat cuba mendapatkan mereka.

Menurut AFP, laporan polis berkenaan kejadian menyatakan bahawa kira-kira 10 orang terkorban dan 30 orang cedera. Selain itu laporan itu turut menyatakan bahawa kira-kira 400 individu dipercayai berkerja di kasino itu.

Kredit AFP

Media tempatan turut melaporkan bahawa terdapat warga asing berada di dalam kasino berkenaan ketika kebakaran itu berlaku.

Ketua Pentadbiran Poipet, Nhem Phoeng, memberitahu Phnom Penh Post bahawa lebih 400 orang dan kebanyakkan merupakan warga Thailand terperangkap dalam kasino tersebut. Beliau berkata, kebanyakan yang maut adalah pekerja dari Kemboja dan Thailand.

Dalam pada itu, ketua polis di wilayah Banteay Meanchey, Mejar Jeneral Sithi Loh berkata mereka yang tercedera berada dalam keadaan kritikal.

Seramai 360 orang anggota pasukan kecemasan dan 11 trak bomba dihantar ke tempat kejadian ketika pasukan penyelamat masih meneruskan usaha mencari mangsa.

Punca kebakaran sehingga kini masih lagi tidak diketahui dengan jelas.

Pasukan penyelamat Thailand memberitahu CNN bahawa mereka mendapat panggilan kecemasan daripada pihak berkuasa Kemboja untuk membantu menangani kebakaran di tingkat tiga hotel itu. Kebakaran dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.30 malam waktu tempatan, kata polis Kemboja.

Seorang pegawai kerajaan wilayah Thailand berkata api telah merebak ke sebuah bangunan 17 tingkat berhampiran hotel tersebut.

Kementerian luar Thailand juga berkata mereka sedang menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan dan mangsa yang cedera telah dipindahkan ke hospital di wilayah Sa Kaeo, Thailand.

“Pihak berkuasa telah cuba mengawal kebakaran termasuk dengan menghantar trak bomba dari kerajaan Thai sendiri,” kata Kementerian Luar Thailand.

Seorang sukarelawan dengan kumpulan penyelamat Thailand Yayasan Ruamkatanyu berkata kebakaran bermula di tingkat satu tetapi merebak dengan cepat di sepanjang permaidani, melompat ke atas melalui bangunan bertingkat itu.

Parinya Phothisat, gabenor wilayah Sa Kaeo Thailand berkata bahawa salah seorang yang terbunuh adalah warga Thailand dan 32 warga Thailand yang lain sedang dirawat di hospital.

Laporan lain menunjukkan jumlah mereka yang cedera dan dibawa ke hospital adalah lebih tinggi. Pihak berkuasa mengesahkan kebakaran telah dapat dikawal pada pukul 11 pagi waktu tempatan hari ini.

Sumber: The Guardian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka