Siakap Keli
Kredit BERNAMA

MB Selangor Galak Pemakaian Pelitup Muka Secara Berperingkat Oleh Pengusaha F&B

MB Selangor galak pemakaian pelitup muka secara berperingkat oleh pengusaha F&B

SHAH ALAM, 29 Dis (Bernama) — Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyarankan agar pelaksanaan pemakaian pelitup muka dalam kalangan pengusaha makanan dan minuman (F&B) dilaksanakan secara berperingkat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Amirudin berkata pemakaian pelitup muka oleh golongan usahawan itu dilihat sebagai langkah yang bagus bagi menimbulkan keyakinan pelanggan ketika proses penyediaan dan hidangan makanan.

Bagaimanapun katanya perkara itu masih belum diputuskan di peringkat kerajaan negeri kerana ia melibatkan beberapa pertambahan dalam Undang-undang Kecil (UUK) di peringkat PBT.

“Jadi kalau kita hendak laksanakan (pemakaian pelitup muka kepada pengusaha makanan) perlu ada pelarasan kerana kita melihat ada kepentingan kesihatan awam jika kita memakai pelitup muka.

Walaupun pada akhirnya apabila kita hendak mewajibkan (pemakaian pelitup muka kepada pengusaha makanan), tetapi (apa yang penting) pada peringkat ini adalah proses pendidikan dalam tempoh satu hingga tiga bulan kerana kita hendak memastikan kebersihan makanan yang disajikan dapat dipelihara,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutupan Pembinaan Keupayaan Gerak Gempur Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SKJT) Ladang Midlands, di sini hari ini.

Terdahulu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) meningkatkan penguatkuasaan dengan mewajibkan pemakaian pelitup muka terhadap peniaga makanan dan minuman berkuat kuasa tahun depan.

Pelaksanaan peraturan itu diikuti oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam hantaran di Facebook hari ini yang memaklumkan akan mengenakan kompaun terhadap peniaga yang gagal mematuhi arahan berkenaan.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka