Siakap Keli

Jururawat Rugi RM198, 000 Diperdaya Sindiket Macau Scam

Jururawat Rugi RM198, 000 Diperdaya Sindiket Macau Scam

KUANTAN, 30 Dis (Bernama) – Seorang jururawat terpaksa berputih mata kerana kerugian wang berjumlah RM198,000 yang baharu dipinjam daripada pihak bank selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata wanita berusia 36 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pihak syarikat penghantaran barang pada 13 Dis lepas.

Beliau berkata panggilan telefon tersebut telah disambungkan kepada ‘pegawai polis’ yang memaklumkan kononnya mangsa terlibat dalam sindiket senjata api dan pengedaran dadah.

“Sejurus itu suspek telah meminta mangsa membuat pinjaman peribadi dan telah memberikan satu pautan untuk mengisi maklumat wanita berkenaan.

“Setelah pinjaman peribadi diluluskan oleh pihak bank daripada tempoh permohonan lebih kurang dua minggu, wang tersebut telah dipindahkan ke akaun suspek tanpa disedari oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, mangsa yang menyedari dirinya diperdaya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Ramli turut mengingatkan masyarakat bahawa pihak penguat kuasa tidak menjalankan sebarang siasatan melalui panggilan telefon dan sentiasa melakukan semakan dengan balai polis, bank atau pejabat berkaitan yang berhampiran untuk pengesahan.

Sumber: BERNAMA

Shafikah