Siakap Keli
Kredit: Bernama & KKM

KKM Ambil Sampel Air Kumbahan Pesawat Dari China Untuk PCR, Pelancong Perlu Lalui Ujian Saringan Demam

KKM Kukuh Persediaan Malaysia Ke Atas Polisi Baharu Kerajaan China

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengukuhkan langkah siap siaga berikutan situasi semasa dan perubahan polisi sifar COVID-19 di China.

KKM memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa memantau perkembangan jangkitan COVID-19 di peringkat antarabangsa, khususnya melalui sidang media terkini oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Sebanyak 148,659 kes positif COVID-19 dengan 442 kes kematian bagi minggu epidemiologi (ME) ke-50 (11 hingga 17 Disember 2022) telah dilaporkan di negara China. Secara keseluruhannya, trend pelaporan kes COVID-19 berada dalam keadaan yang terkawal di kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia,” kata KKM.

Menurut kenyataan media KKM lagi, tiada peningkatan drastik dilaporkan di dalam jumlah kes COVID-19 di dalam negara serta kes kritikal berikutan kesan positf daripada langkah-langkah kesihatan awam dan imuniti kelompok yang terhasil menerusi program vaksinasi COVID-19 secara besar-besaran.

Selain itu, pihak KKM juga mengambil kira risiko kemasukan kes-kes COVID- 19 dari luar negara dan terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan maklum balas bagi menghadapi sebarang kebarangkalian peningkatan kes dan kematian COVID-19 seperti yang pernah dialami sebelum ini.

Kredit: Bernama

Pemeriksaan terperinci ke atas pengunjung di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA)

Antara langkah proaktif untuk menangani penularan COVID-19 dari luar negara, khususnya dari negara China ialah pengambilan sampel air kumbahan dari pesawat yang datang dari negara China di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

Melalui langkah ini, sampel air kumbahan akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian PCR dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif COVID-19.

Selain itu, semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk negara China di PMA akan melalui saringan demam. Bagi mereka yang mengalami demam, memiliki simptom atau rujukan kendiri (self declaration) akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula.

Sekiranya indidvidu tersebut disyaki menghidapi COVID-19, maka ujian COVID-19 akan dijalankan serta merta.

Pada akhir kenyataanya, pihak KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan COVID-19, sama ada dalam lingkungan tempatan dan global serta berkolaborasi bersama WHO, China serta negara-negara ASEAN demi memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Terdahulu, kes COVID-19 di China mula mencanak naik berikutan tindakan mendadak yang diambil oleh pihak berkuasa Beijing melalui pelonggaran langkah pencegahan COVID-19 yang ketat sebelum ini atas bantahan yang meningkat dalam kalangan warga tempatan.

Pegawai tertinggi di badan kesihatan di China mengatakan, jangkitan COVID-19 di negara tersebut kini menjadi sukar dikesan dan mengenakan amaran peningkatan kes secara drastik susulan tindakan kerajaan China memansuhkan polisi sifar COVID sebelum ini.

BACA: Singapura Dilapor Alami Kekurangan Ubat, Warga China Beratur Panjang Beli & Hantar Ke Negara Asal

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) via Twitter

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma